61 mayat ditanam di perkarangan hospital terbesar Gaza

61 mayat ditanam di perkarangan hospital terbesar Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pasukan Pertahanan Awam Palestin meneruskan usaha untuk mengeluarkan 61 mayat rakyat Palestin yang ditanam di perkarangan Hospital Al Shifa di Gaza, semasa perang berbulan-bulan dilancarkan oleh Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, proses penggalian bermula pada 13 Mac lalu, dengan pasukan bertugas bertungkus-lumus mengeluarkan jenazah untuk dikebumikan secara sempurna.

Pada hari pertama, pekerja Pertahanan Awam menemukan 48 mayat, termasuk 10 individu yang tidak dikenal pasti.

13 lagi mayat dikeluarkan pada hari kedua, dengan tiga daripada masih belum dikenal pasti.

Mayat yang dikenal pasti diserahkan kepada keluarga, manakala yang lain dihantar kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut.

Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 160 mayat ditanam di kawasan hospital tersebut semasa perang dan memerlukan beberapa hari lagi untuk menyelesaikan proses pemulihan.

Hospital Al-Shifa, sebelum ini merupakan pusat perubatan terbesar di Gaza, memberikan perkhidmatan kepada 460,000 orang setiap tahun sebelum perang.

Hospital itu menyediakan rawatan kecemasan, pembedahan, rawatan dialisis serta perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Sepanjang perang, tentera Israel berulang kali menyerang dan memusnahkan Hospital Al-Shifa, dengan serangan besar pertama berlaku pada 16 November 2023 yang berlangsung selama 10 hari.

Serangan kedua berlaku pada 18 Mac 2024 dan berterusan sehingga 1 April, di mana tentera Israel merobohkan sebahagian besar hospital, membakar bangunan dan melakukan pembunuhan di dalam serta sekitar kemudahan tersebut, menyebabkan hospital tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir Al-Barsh memberitahu Anadolu pada Januari lalu, lebih 95 peratus bangunan dan peralatan hospital musnah semasa perang genosid yang dilancarkan Israel.

Gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang telah berkuat kuasa sejak 19 Januari menghentikan serangan ganas Israel yang mengakibatkan kematian lebih 48,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta melumpuhkan hampir keseluruhan Gaza.– ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×