41 tahun Pak Long Din raya bersendirian

41 tahun Pak Long Din raya bersendirian

BADRUDIN Dahlan yang beraya bersendirian sejak 41 tahun lalu merenung jauh ke luar tingkap biliknya di Rumah Sejahtera, Batu Bertangkup, Padang Besar, Perlis. – MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ketika keba­nyakan orang menyambut Aidilfitri bersama keluarga, Badrudin Dahlan, 71, atau lebih dikenali sebagai Pak Long Din, sudah terbiasa meraikan lebaran seorang diri sejak 41 tahun lalu.

Menghuni Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Aidilfitri ba­ginya sekadar hari biasa tanpa sebarang persiapan atau keme­riahan seperti orang lain.

“Saya mula menyambut raya sendirian sejak usia 30 tahun, selepas berselisih faham dengan keluarga. Ibu bapa sudah lama tiada, yang tinggal hanyalah adik perempuan bersama ibu tiri.

“Pada awalnya saya membawa diri dan bekerja di Alor Setar. Sejak itu, kami jarang berhubung, malah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri pun, saya hanya menyambutnya sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Pak Long Din yang tidak pernah berkahwin, mengakui sudah lali dengan keadaan itu.

Tahun lalu, selepas kehila­ngan tempat tinggal, seorang rakan mencadangkan Rumah Sejahtera sebagai tempat perlindungan.

“Sebelum ini, saya tinggal di rumah pekerja sebuah kedai makan di Alor Setar, tetapi kedai itu diambil alih pihak lain, jadi saya terpaksa berpindah.

“Rakan saya telah membantu mencari tempat tinggal dan kemudiannya dia mencadangkan Rumah Sejahtera ini memandangkan saya tidak mampu lagi bekerja disebabkan keka­ngan usia.

“Sejak berpindah ke sini, saya sekurang-kurangnya mendapat kawan baharu dan tidak lagi bersendirian semasa sambutan hari raya, malah ramai juga pihak turut prihatin dengan nasib kami penghuni di sini,” katanya.

Baginya, Aidilfitri kini bukan lagi tentang persiapan atau kemeriahan, tetapi lebih kepada mensyukuri nikmat kehidupan walaupun tanpa keluarga di sisi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×