ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 12 orang awam, termasuk tujuh kanak-kanak terbunuh, selepas dua pengebom berani mati merempuh pangkalan keselamatan di barat laut Pakistan, menggunakan kenderaan sarat bahan letupan, kelmarin.
Menurut polis dan pasukan penyelamat, kejadian berlaku sejurus selepas penduduk tempatan selesai berbuka puasa, menyebabkan bumbung sebuah masjid berhampiran runtuh akibat letupan berkenaan.
Seorang pegawai tentera yang enggan dikenali berkata, letupan itu turut menyebabkan suasana di pasar berdekatan yang sibuk dengan pengunjung menjadi panik.
Katanya, beberapa militan cuba menceroboh pangkalan tentera selepas letupan tersebut, namun berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan.
“Enam militan ditembak mati dalam pertempuran itu,” jelas pegawai tersebut.
Jurucakap Hospital Bannu, Muhammad Nauman memaklumkan, seramai 12 orang awam terkorban, manakala 30 lagi cedera dalam serangan itu.
“Kebanyakan mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan dinding akibat letupan kuat tersebut. Antara mangsa yang terkorban, tujuh daripadanya adalah kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, pasukan penyelamat tempatan, Rescue 1122 memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan.
Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan penduduk setempat bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan batu dan perancah besi yang berselerak di kawasan tersebut.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengecam sekeras-kerasnya serangan itu dan menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan ‘niat jahat musuh Pakistan’ menggugat keamanan negara.
“Saya mengutuk serangan kejam ini. Kami tidak akan membenarkan musuh mencapai cita-cita jahat mereka terhadap Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, namun kawasan berkenaan sering menjadi sasaran kumpulan Taliban yang melancarkan serangan terhadap pasukan polis dan tentera di sempadan Afghanistan. –AGENSI










