BAITULMUQADDIS: Tentera Israel menjadikan sebuah pusat kesihatan di kem pelarian Al-Arroub di utara Hebron sebagai lokasi tahanan dan penyiasatan warga Palestin.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengecam tindakan itu dan menyifatkan pelanggaran itu sebagai tidak menghormati kemudahan PBB.
“Ini adalah perkembangan baharu dalam pengabaian yang jelas terhadap kemudahan PBB.
“Malangnya, insiden terkini ini mengikuti pola pencerobohan paksa ke dalam kemudahan UNRWA di Tebing Barat sejak Oktober 2023 oleh pasukan keselamatan Israel dan kumpulan bersenjata Palestin,” kata kenyataan itu.
Agensi tersebut menegaskan, semua premis PBB dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dicabuli.
UNRWA mendedahkan tidak dapat berhubung dengan pegawai Israel sejak 30 Januari lalu, untuk melapor dan menangani pelanggaran tersebut selepas rejim menguatkuasakan polisi memutuskan sebarang komunikasi dengan mereka.
Perkembangan tersebut meningkatkan kebimbangan mengenai pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa yang melindungi infrastruktur kemanusiaan dan hak awam di Palestin.
Justeru, UNRWA mendesak tindakan segera untuk melindungi keselamatan operasi mereka dan mengekalkan integriti usaha kemanusiaan di rantau tersebut.
Aktiviti UNRWA dalam kawasan di bawah pendudukan Israel kini diharamkan, termasuk operasi pejabat wakil dan penyediaan perkhidmatan.
Malah, Israel juga dilarang daripada berhubung dengan agensi tersebut.
Sementara itu, Israel menerima tiga tebusan yang dibebaskan oleh Hamas sebagai pertukaran untuk banduan dan tahanan Palestin selepas krisis gencatan senjata kembali tegang hingga hampir menyebabkan perang sekali lagi di Gaza.
Tiga tebusan yang dibebaskan ialah warga Israel-Amerika Syarikat (AS), Sagui Dekel-Chen; warganegara Israel-Russia, Sasha Trupanov dan warga Israel Argentina, Yair Horn, menurut pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kumpulan advokasi Kelab Tahanan Palestin berkata, Israel membebaskan 36 tahanan yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana serangan terhadap rakyat Israel, dengan 24 daripada mereka dijangka dihantar pulang, selain 333 warga Gaza yang ditahan semasa perang.– AGENSI










