WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertahankan usaha Elon Musk untuk menutup beberapa agensi kerajaan, di tengah cabaran undang-undang, isu ketelusan dan pertikaian mengenai konflik kepentingan.
Parti Demokrat menuduh jutawan terkenal itu mendapat manfaat peribadi daripada beberapa perubahan yang cuba dilaksanakan oleh pentadbiran Trump, seperti cadangan penutupan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID).
“Beliau tidak mendapat sebarang keuntungan. Malah, saya tertanya-tanya bagaimana dia boleh meluangkan masa untuk perkara ini,” kata Trump kepada pemberita, kelmarin.
Beliau berkata, Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di bawah Musk akan segera meneliti perbelanjaan dalam ketenteraan dan Jabatan Pendidikan, yang dijangka dalam masa terdekat.
“Kita periksa ketenteraan. Kita akan menemukan berbilion, ratusan bilion dolar ketirisan dan penyalahgunaan, rakyat memilih saya kerana itu,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memberitahu Fox News bahawa beliau ‘mengalu-alukan’ usaha DOGE untuk meneliti perbelanjaan ketenteraan.
“Apabila kita membelanjakan wang, kita perlu tahu ke mana ia pergi dan mengapa, dan perkara itu tidak wujud di jabatan pertahanan,” katanya.
Kenyataan Trump mengenai Musk dan DOGE dibuat dalam satu temu bual dengan wartawan Fox News, Bret Baier, semasa siaran sebelum perlawanan Super Bowl, kelmarin.
DOGE, diwujudkan untuk mengenal pasti dan menghapuskan perbelanjaan kerajaan yang dianggap membazir oleh pentadbiran Trump.
Sebelum ini, akses DOGE kepada rekod Perbendaharaan serta pemeriksaannya terhadap pelbagai agensi kerajaan mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan pengkritik mengenai pengaruh Musk, sementara penyokong pula menyambut baik usaha mengawal perbelanjaan kerajaan yang berlebihan.– BBC









