BANGKOK: Tindakan Thailand menghantar pulang sekurang-kurangnya 40 etnik Uighur ke China dikecam pelbagai pihak, termasuk organisasi dunia dan Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan itu dihantar pulang ke wilayah Xinjiang, China pada Khamis selepas ditahan selama 10 tahun di pusat tahanan di Bangkok.
Ia adalah kali pertama Thailand mengusir warga Uighur sejak 2015, walaupun kumpulan hak asasi manusia memberi amaran mereka akan menghadapi penganiayaan sekembalinya ke China.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengutuk sekeras-kerasnya pemulangan itu, dengan menegaskan minoriti Islam Uighur berdepan pembunuhan beramai-ramai.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan Thailand memulangkan sekurang-kurang 40 etnik Uighur ke China, di mana mereka berdepan penganiayaan, buruh paksa dan penyeksaan,” kata Rubio dalam kenyataan, semalam.
Ahli Parlimen pembangkang Thailand, Kannavee Suebsang turut mengecam tindakan kerajaan kerana menghantar pulang etnik itu untuk menghadapi penganiayaan lebih buruk.
“Tidak sepatutnya kerajaan menghantar pulang Uighur untuk menghadapi penganiayaan.
“Mereka sudah dipenjarakan selama 11 tahun dan kita melanggar hak asasi manusia mereka terlalu lama,” katanya.
Sementara itu, Human Rights Watch dalam kenyataan berkata, kumpulan itu berisiko tinggi diseksa, hilang dan dipenjarakan untuk jangka panjang.
Ia turut menyifatkan pemulangan itu sebagai pelanggaran terhadap kewajiban Thailand di bawah undang-undang domestik dan antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam tindakan itu, termasuk Kesatuan Eropah (EU) meluahkan kekesalan terhadap keputusan Thailand.
China dituduh melakukan jenayah kemanusiaan dan kemungkinan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Uighur dan etnik Islam lain di wilayah Xinjiang, meskipun Beijing menafikan semua dakwaan itu.– BBC










