WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tetap meneruskan tarif import yang sepatutnya dikenakan terhadap Kanada dan Mexico.
Presiden AS, Donald Trump menegaskan perkara itu selepas bertemu dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron, yang menggesa ‘persaingan adil’ dalam perdagangan.
“Tarif akan diteruskan mengikut jadual,” kata Trump dalam satu sidang akhbar, kelmarin.
Perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu, yang tertumpu kepada konflik Ukraine, berlangsung ketika Trump mengancam sekutu dan lawan dengan tarif baharu, sehingga mencetuskan pelbagai rundingan.
Tidak lama selepas memegang jawatan, Trump mengumumkan duti sehingga 25 peratus ke atas import Kanada dan Mexico, yang didakwa sebagai usaha mengekang imigresen haram dan kemasukan fentanyl.
Namun, beliau menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut pada saat akhir selama sebulan sementara rundingan diteruskan.
Penangguhan itu akan berakhir pada Selasa depan, dan tumpuan kini terarah kepada jiran Amerika Utara, sama ada ia dapat mencapai perjanjian untuk mengelakkan pelaksanaan tarif yang boleh mengganggu rantaian bekalan dalam sektor utama seperti pembuatan kereta.
Kenyataan Trump dibuat selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mendakwa rundingan dengan Washington akan diteruskan minggu ini bagi mengelakkan tarif besar-besaran.
Beliau menyuarakan keyakinan untuk mencapai perjanjian dengan Trump, selain membayangkan potensi levi ke atas barangan China sebagai langkah untuk mendapatkan persetujuan.
Sheinbaum juga memberi isyarat bahawa Mexico terbuka kepada semakan awal perjanjian perdagangannya dengan AS dan Kanada menjelang tarikh akhir 2026.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Luar Kanada, Melanie Joly berkata, ancaman tarif adalah benar dan mungkin berterusan untuk suatu tempoh.- AFP










