WASHINGTON: Selepas cuba mencetuskan perang perdagangan dengan China dan dua negara jirannya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus mengejutkan dunia apabila merancang ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza yang jelas membuat rakyat Palestin marah.
Beliau membuat pengumuman mengejutkan itu ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk rundingan penting mengenai gencatan senjata dengan Hamas, kelmarin.
CADANGAN LUAR BIASA
Ketika dunia menantikan rancangan melaksanakan fasa kedua gencatan senjata untuk menghentikan perang di Gaza, Trump pula menggandakan gesaan supaya rakyat Palestin keluar dari wilayah terkepung itu.
Beliau mengulangi desakan meminta mereka menuju ke negara Asia Barat lain seperti Mesir dan Jordan, walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara itu sebelum ini menolak mentah cadangan tersebut.
“AS akan mengambil alih Gaza dan kami akan melakukan sesuatu dengannya juga. Kami akan memilikinya,” kata Trump pada sidang akhbar bersama Netanyahu.
Trump berkata, AS akan mengalihkan bom yang belum meletup, meratakan tapak dan bangunan yang musnah, termasuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang akan membekalkan bilangan pekerjaan serta perumahan yang tidak terhad untuk penduduk kawasan itu.
Tetapi, menurut Trump pembangunan itu bukan untuk rakyat Palestin.
“Ia tidak sepatutnya melalui proses pembinaan semula dan diduduki orang sama yang memperjuangkan, tinggal dan mati serta menjalani kehidupan sengsara di sana,” katanya.
Beliau berkata, dua juta penduduk Gaza harus pergi ke negara lain yang berkepentingan kemanusiaan.
Netanyahu sempat memuji Trump sebagai ‘rakan terbaik yang Israel pernah ada’.
Beliau berkata, rancangan Trump boleh ‘mengubah sejarah’ dan patut diberi perhatian.
Ditanya siapa yang akan tinggal di Gaza jika pengambilalihan itu berjaya, Trump berkata, ia boleh menjadi tempat tinggal kepada ‘rakyat dunia’.
Trump turut menggembar-gemburkan jalur sempit yang sudah seperti padang jarak padang tekukur itu, berpotensi untuk menjadi ‘Riviera Asia Barat’
“Ini akan menjadi sesuatu yang boleh menjadi sangat hebat,” katanya selepas menyebut tentang rancangan membangunkan semula Gaza.
KECAMAN DUNIA
Pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri menyifatkan kenyataan Trump tentang keinginannya untuk mengawal Gaza sebagai cadangan yang tidak masuk akal dan bakal menjejaskan kestabilan Asia Barat.
“Kami menganggapnya sebagai resipi untuk mencetuskan huru-hara dan ketegangan di rantau ini kerana penduduk Gaza tidak akan membenarkan rancangan sedemikian berlaku,” katanya.
Bahkan, penduduk Gaza turut bangkit mengutuk idea Trump itu.
“Trump fikir Gaza adalah timbunan sampah tetapi sama sekali tidak,” kata penduduk di bandar Rafah, Hatem Azzam, 34.
Kerajaan Arab Saudi yang terawal mengeluarkan kenyataan, dengan tegas menolak sebarang percubaan untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka dan mengulangi pendiriannya tidak akan menjalin hubungan dengan Israel tanpa penubuhan negara Palestin.
Beberapa penggubal undang-undang Demokrat turut mengecam cadangan Presiden Republikan itu.
Pakar berpendapat, tindakan AS mengambil kepentingan langsung di wilayah bergolak itu jelas bertentangan dengan dasar lama Washington dan harapan masyarakat antarabangsa untuk Gaza menjadi sebahagian daripada negara Palestin bersama Tebing Barat yang diduduki.
Trump tidak secara langsung menjawab soalan tentang bagaimana dan di bawah kuasa apa AS boleh mengambil alih dan menduduki Gaza, wilayah yang sarat sejarah penyeksaan ‘ganas’ itu.
Pentadbiran AS sebelum ini termasuk Trump sendiri dalam penggal pertamanya, mengelak mengerahkan tentera AS ke sana, justeru rancangan terbaharunya itu jelas sukar dilaksanakan.
Pengkritik berpendapat, Trump sengaja mengambil keputusan melampau di peringkat antarabangsa bagi menetapkan parameter untuk rundingan masa depan.
Dalam penggal pertamanya, Trump ada kalanya mengeluarkan kenyataan dasar luar yang berlebihan dan kebanyakannya tidak pernah dilaksanakan.
Penilaian kerosakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Januari menganggarkan usaha membersih lebih 50 juta tan runtuhan di Gaza selepas pengeboman Israel, boleh mengambil masa 21 tahun dan menelan belanja sehingga AS$1.2 bilion (RM5.31 bilion).
Bekas timbalan pegawai perisikan negara AS, Jonathan Panikoff berkata, rancangan Trump itu akan menarik komitmen ketenteraan AS yang panjang.
“Sekali pun jika ia membuahkan hasil, dunia Arab pasti menganggap Washington tidak belajar daripada kegagalan pembinaan negara di Iraq dan Afghanistan,” katanya.
Pemindahan paksa penduduk Gaza juga melanggar undang-undang antarabangsa dan beberapa penyokong hak asasi manusia menyamakan idea itu dengan pembersihan etnik.
Perwakilan Palestin ke PBB turut menegaskan pemimpin dunia harus menghormati kehendak rakyat Palestin.-AFP










