JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto menghormati 13 tuntutan mahasiswa daripada pelbagai universiti yang mengadakan demonstrasi ‘Indonesia Gelap’ pada Isnin lalu.
Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, kerajaan sentiasa terbuka dengan aspirasi rakyat serta komitmen mendengar suara mereka.
“Bagi pihak kerajaan dan Presiden, kami sentiasa terbuka terhadap aspirasi masyarakat.
“Sebelum memegang jawatan, kami juga terlibat dalam perjuangan politik, jadi kami faham situasi ini,” katanya kepada pemberita di Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat di Senayan, kelmarin.
Dalam menyambut baik suara mahasiswa, Prasetyo menggesa agar demonstrasi itu dilakukan secara aman dan tidak menganggu kepentingan awam.
“Silakan menyampaikan aspirasi, tetapi jangan sampai merugikan masyarakat dan merosakkan kemudahan awam,” katanya.
Protes itu mendapat sokongan meluas, dengan mahasiswa daripada pelbagai universiti menyatakan komitmen meneruskan gerakan sehingga tuntutan mereka mendapat perhatian kerajaan.
Ia bertujuan memberi tekanan kepada pemerintah untuk lebih berpihak kepada rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, kesejahteraan akademik dan menuntut perubahan serta mengkritik beberapa dasar Prabowo.
Gelombang protes itu juga dipacu oleh pemotongan belanjawan negara dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, dan Teknologi yang mengalami pengurangan anggaran bajet sebesar 22.5 trilion rupiah (RM7.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan 57.6 trilion rupiah.
Protes yang diketuai Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI), berlangsung serentak di beberapa bandar utama, termasuk Jakarta, Bandung, Surabaya dan Yogyakarta.
Sementara, ratusan pelajar gabungan BEM SI dijangka mengadakan satu lagi demonstrasi sama di Jakarta, hari ini.
Koordinator Pusat BEM SI, Herianto menjelaskan, tarikh tersebut dipilih bertepatan dengan pelantikan ketua daerah pada 20 Februari 2025.
Beliau berkata, tujuan tunjuk perasaan itu dilakukan pelajar bagi mengingatkan pemimpin yang baru dilantik tentang tanggungjawab moral mereka untuk memberikan keadilan kepada rakyat.
“Jadi, beban ini bukan hanya pada kerajaan pusat. Pemimpin daerah juga perlu memikirkan posisi mereka di sana,” kata Herianto ketika dihubungi, kelmarin.– AGENSI










