CHICAGO: Sebuah pesawat Southwest Airlines berdepan detik cemas apabila hampir bertembung dengan jet peribadi yang memasuki landasan tanpa kebenaran sebelum membatalkan pendaratannya di Lapangan Terbang Midway Chicago, semalam.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), kejadian berlaku sekitar pukul 8.50 pagi waktu tempatan apabila penerbangan Southwest 2504, Boeing 737-800 dari Omaha, Nebraska, sedang bersedia untuk mendarat, sebelum tiba-tiba naik semula untuk mengelakkan perlanggaran dengan jet peribadi FlexJet Challenger yang bergerak di landasan.
Sebuah video dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat Southwest hampir mendarat, kemudian naik semula.
FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kini sedang menjalankan siasatan.
Menurut kenyataan Southwest, kru pesawat mengikut prosedur keselamatan dan penerbangan itu mendarat dengan selamat.
Pesawat Boeing 737-800 syarikat penerbangan itu membawa 175 penumpang.
Menurut Flightradar24, pesawat Southwest itu turun ke ketinggian 15 meter sebelum membatalkan pendaratan, kira-kira 624 meter dari jet peribadi yang mahu berlepas ke Knoxville, Tennessee.
Ketika ia naik semula, pesawat itu hanya mencapai ketinggian 76 meter ketika melepasi pesawat yang lebih kecil tersebut.
Insiden ini menambah kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan di AS dengan beberapa kejadian hampir berlanggar dilaporkan sejak dua tahun kebelakangan ini, selain tekanan terhadap operasi kawalan trafik udara yang kekurangan kakitangan.
Pada Oktober 2024, FAA mengumumkan akan memulakan audit terhadap risiko pencerobohan landasan di 45 lapangan terbang paling sibuk di AS.
Ahli politik Demokrat di Kongres turut menekankan bahawa pentadbiran Trump baru-baru ini memecat 352 pekerja FAA, termasuk beberapa yang terlibat dalam operasi keselamatan.
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy bagaimanapun berkata, pemecatan itu tidak melibatkan sebarang jawatan kritikal keselamatan atau pengawal trafik udara.
FAA, yang memiliki teknologi dan kemudahan yang semakin usang dan memerlukan berbilion dolar untuk dinaik taraf kini kekurangan sekitar 3,500 pengawal trafik udara daripada jumlah sasaran kakitangan, menyebabkan industri penerbangan dan penggubal undang-undang mendesak tindakan diambil.- AGENSI











