Pesawah kisar padi sendiri atasi ketiadaan beras tempatan

Pesawah kisar padi sendiri atasi ketiadaan beras tempatan

AZHAR Hashim menunjukkan mesin kisar padi untuk kegunaan sendiri di Parit Haji Taib 3, Bagan Serai, Perak. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyokong cadangan pesawah dibenar mengisar sendiri padi untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada penduduk setempat bagi mengatasi kekurangan beras tempatan di pasaran.

Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pesawah boleh kembali kepada cara lama iaitu menyimpan dan mempro­ses padi sendiri untuk dijadikan beras bagi kegunaan sendiri.

Beliau berkata, dengan cara itu sekurang-kurangnya pesawah dan komuniti setempat dapat merasai beras tempatan yang mereka usahakan sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memberi sokongan penuh terhadap cadangan agar Akta 522, Akta Perundangan Padi dan Beras 1994 dilonggarkan supaya pesawah boleh mengisar padi kepada beras untuk kegunaan sendiri.

“Kita harus kembali kepada asal, iaitu sawah padi yang diusahakan, seharusnya beras ini kita yang buat, kita yang hasilkan,dan kita yang akan edarkan pada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akta 522, Akta Perundangan Padi dan Beras 1994 bertujuan mengawal selia industri padi dan beras. Akta itu memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengawal pelbagai aspek berkaitan pengeluaran, pengedaran, dan perdagangan beras serta padi di negara ini.

Secara umumnya, Akta 522 menetapkan beberapa peraturan yang membatasi kebebasan pesawah dan pengusaha padi dalam menguruskan hasil mereka.

Sham berkata, ketiadaan beras tempatan dalam pasaran yang berlarutan lebih dua tahun mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat memandangkan sebelum ini tidak pernah berlaku isu kekurangan beras tempatan.

“Ia berpunca daripada ketidakcekapan pihak kementerian yang diterajui oleh individu yang kurang berpengalaman dalam bidang pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini