KOTA BHARU: Pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar mendakwa mereka membayar wang sebanyak RM4,500 kepada tekong untuk masuk seterusnya bekerja di negara ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, maklumat tersebut didedahkan oleh salah seorang PATI Myanmar hasil ditangkap oleh agensi berkenaan dalam satu operasi baru-baru ini.
“Maklumat ini hasil soal jawab yang dilakukan oleh saya sendiri semasa menyertai satu operasi baru-baru ini.
“Saya difahamkan bayaran itu melibatkan bayaran kenderaan, bot, penginapan, makanan dan upah sepanjang perjalanan dari negara asal hingga ke lokasi yang ditetapkan di sini (Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas sarapan pagi bersama pengamal media Kelantan di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, bagaimanapun tekong akan mengenakan bayaran berbeza-beza kepada PATI mengikut negara.
Katanya, PATI yang berjaya di bawa masuk itu akan dibawa ke ditetapkan untuk transit sementara.
“Kemudian PATI itu akan dibawa ke Kuala Lumpur, Selangor serta Johor dan beberapa negeri lain.
“Kebanyakan PATI ke negara ini kerana terpengaruh dengan tawaran kerja yang menjanjikan upah lumayan dalam sektor kilang dan pembinaan,” ujarnya.-UTUSAN