Pasaran Asia terkesan perang tarif Trump

Pasaran Asia terkesan perang tarif Trump

TRAK membawa kenderaan memasuki Pelabuhan Masuk Otay Mesa, di sempadan AS-Mexico.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Saham Asia susut pada pagi semalam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menunaikan janjinya untuk mengenakan tarif ke atas Kanada, Mexico dan China.

Potensi perang perdagangan yang boleh menjejaskan pendapatan syarikat utama dan menjejaskan pertumbuhan global mencetus kegelisahan dalam kalangan pelabur di seluruh Asia.

ASIA TERKESAN

Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.3 peratus, sementara Nikkei 225 Jepun 2.4 peratus lebih rendah.

Kospi Korea Selatan pula jatuh tiga peratus dan ASX 200 Australia pula 1.8 peratus lebih rendah.

Pasaran di tanah besar China kekal ditutup untuk cuti Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, dolar AS menunjukkan kekuatan, meningkat kepada rekod tertinggi berbanding yuan China, manakala dolar Kanada menjunam ke paras terendah sejak 2003.

“Prospek pertikaian perdagangan yang panjang dan berlarutan antara dua ekonomi terbesar dunia itu menyebabkan pelabur terpaksa mengambil risiko.

“Kebimbangan lain bagi pelabur ialah negara mana yang mungkin berada dalam senarai tarif Trump seterusnya,” kata Ketua Penganalisis Pasaran di firma perkhidmatan kewangan KCM Trade, Tim Waterer.

Kelmarin, Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas import Kanada dan Mexico serta 10 peratus ke atas barangan dari China bermula Selasa.

Tindakan itu menyebabkan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dengan pantas mengumumkan levi balas dan melancarkan kempen memboikot barangan AS dengan memilih produk buatan tempatan.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pula menegaskan sudah mengarahkan menteri ekonominya untuk melaksanakan tarif balas dan beberapa langkah mempertahankan kepentingan negaranya.

Di Korea Selatan, walaupun syarikat tidak terjejas secara langsung oleh tarif, kebimbangan adalah kemudahan pengeluaran mereka di Mexico.

Kementerian Ekonomi Taiwan turut mengumumkan akan menyokong syarikat yang merancang untuk berpindah ke AS, termasuk membantu mereka mencari rakan kongsi, berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan oleh tarif baharu Trump.

Taiwan yang merupakan pengeluar utama produk teknologi seperti semikonduktor dan alat ganti elektronik terdedah kerana mempunyai banyak kilang di Mexico dan China.

Taiwan turut khuatir kerana Trump juga mengancam tarif ke atas cip yang diimport.

Ketua Strategi Pelaburan di Bank Pelaburan Saxo berpangkalan di Singapura, Charu Chanana memberi amaran, walaupun tarif boleh memberi manfaat kepada ekonomi AS dalam jangka pendek, dalam jangka panjang ia menimbulkan risiko yang besar.

“Penggunaan tarif berulang kali akan memberi insentif kepada negara lain untuk mengurangkan pergantungan kepada AS, melemahkan peranan global dolar,” tambahnya.

TINDAKAN TAK MASUK AKAL

Sementara itu, Lembaga editorial akhbar Wall Street Journal menyebutnya sebagai ‘perang perdagangan paling tidak masuk akal dalam sejarah.

Trump menerusi platform media Truth Social miliknya mendakwa, menggunakan kuasa kecemasan untuk mengenakan tarif yang akan berkuat kuasa pada Selasa, kerana ancaman utama pendatang haram dan dadah fentanyl yang boleh membunuh rakyat negara itu.

Akhbar itu berkata, langkah tersebut mengingatkan tentang jenaka lama pakar sejarah, Bernard Lewis bahawa ‘amat berisiko menjadi musuh AS tetapi lebih membawa maut jika menjadi kawannya’.

“Dadah mungkin hanya alasan kerana Trump telah menjelaskan beliau menyukai tarif untuk mencapai kepentingannya, malah beliau turut memberi komen pada Khamis lalu, mendakwa AS tidak memerlukan minyak atau kayu daripada jirannya.

“Trump kadang-kala terdengar seolah-olah AS tidak sepatutnya mengimport apa-apa sama sekali, bahawa negara itu mampu menjadi ekonomi tertutup yang sempurna dan boleh menghasilkan segala-galanya di rumah. Ia jauh sekali dari dunia sebenar,” tambah laporan itu.

Sementara tu, bekas Setiausaha Perbendaharaan di bawah pentadbiran Bill Clinton, Larry Summers berkata, tarif tersebut bakal mencetus kejutan bekalan dan kenaikan harga barangan di AS.

“Ini adalah luka yang ditimbulkan sendiri kepada ekonomi AS. Akibatnya, saya menjangkakan inflasi dalam tempoh tiga atau empat bulan akan datang menjadi lebih tinggi.

“Ini kerana paras harga akan naik apabila anda meletakkan levi ke atas barangan keperluan yang dibeli orang ramai,” kata Summers kepada CNN.

Ketua Ekonomi di firma cukai dan perunding EY, Gregory Daco berkata, tarif tersebut akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.4 peratus dan mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS sebanyak 1.5 peratus tahun ini.

KEPERITAN SEMENTARA

Dalam pada itu, Trump mengakui tarif yang dikenakannya ke atas Mexico, Kanada dan China mungkin menyebabkan ‘keperitan jangka pendek’ bagi rakyat AS.

Trump berkata, beliau akan berbincang dengan pemimpin Kanada dan Mexico, yang sudah mengumumkan tarif balasan mereka sendiri, tetapi menolak jangkaan bahawa pertemuan itu akan mengubah fikirannya.

“Saya tidak menjangkakan apa-apa yang dramatik. Mereka berhutang banyak wang kepada kami, dan saya pasti mereka akan membayar.

“Kita mungkin mengalami sedikit kesulitan dalam jangka pendek, dan orang ramai memahaminya. Tetapi jangka panjang, AS telah ditipu oleh hampir setiap negara di dunia,” kata Trump kepada pemberita ketika kembali ke Washington dari Mar-a-Lago di Florida

Reaksi pasaran kewangan juga dilihat tidak positif apabila niaga hadapan saham AS merosot dalam dagangan awal Asia.

Niaga hadapan Nasdaq NQc1, turun 2.35 peratus sementara niaga hadapan S&P 500 EScv1, pula mencatat 1.8 peratus lebih rendah.

Harga minyak AS melonjak lebih daripada AS$2 (RM8.9), manakala niaga hadapan petrol meningkat lebih daripada tiga peratus.

“Tarif Trump akan meliputi hampir separuh daripada semua import AS. Justeru AS perlu untuk menggandakan pengeluaran pembuatannya sendiri bagi menampung jurang itu, tugas yang jelas tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” jelas penganalisis ING dalam satu kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×