BANDA ACEH: Sebuah mahkamah di wilayah Aceh menjatuhkan hukuman sebat secara terbuka terhadap dua lelaki selepas mengaku bersalah melakukan hubungan sejenis.
Kedua-dua lelaki tersebut, masing-masing berusia 24 dan 18 tahun, ditangkap pada 7 November lalu selepas sekumpulan penduduk bertindak menyerbu bilik sewa mereka di Banda Aceh dan menemui pasangan itu dalam keadaan berbogel serta berpelukan.
Ketua hakim, Sakwanah berkata, panel tiga hakim sebulat suara memutuskan kedua-dua tertuduh terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan hubungan sejenis.
“Sepanjang perbicaraan, terbukti kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan terlarang termasuk bercium dan melakukan hubungan seks. Sebagai umat Islam, mereka sepatutnya mematuhi hukum syariah yang dikuatkuasakan di Aceh,” katanya.
Mahkamah memerintahkan lelaki berusia 24 tahun dikenakan 85 sebatan manakala pasangannya dijatuhi hukuman 80 sebatan.
Menurut Sakwanah, kedua-duanya terlepas daripada hukuman maksimum 100 sebatan kerana berkelakuan baik di mahkamah, bekerjasama dengan pihak berkuasa serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, hukuman lebih berat dikenakan ke atas lelaki yang lebih tua kerana dipercayai menjadi pihak yang mendorong dan menyediakan tempat untuk melakukan perbuatan itu.
Pihak pendakwaan dan peguam bela kedua-dua tertuduh menerima keputusan mahkamah dan tidak akan mengemukakan rayuan.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang diberi kuasa melaksanakan undang-undang syariah selepas kerajaan pusat di Jakarta membenarkannya pada 2006, sebagai sebahagian daripada perjanjian damai bagi menamatkan konflik pemisah di wilayah tersebut.
Sejak undang-undang itu dikuatkuasakan, lebih 100 individu dikenakan hukuman sebat setiap tahun kerana pelbagai kesalahan moral termasuk berjudi, minum arak, wanita berpakaian tidak sopan dan lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat.
Ini merupakan kali ketiga Aceh melaksanakan hukuman sebat terhadap individu yang didapati bersalah kerana hubungan sejenis.
Sebelum ini, cadangan menjatuhkan hukuman rejam hingga mati bagi kesalahan zina telah digugurkan selepas menerima tekanan daripada kerajaan pusat.- AGENSI











