BUTTERWORTH: Pulau Pinang berhasrat menjadi negeri pertama menguatkuasakan sepenuhnya larangan terhadap penggunaan beg plastik bermula 1 September tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, ketika ini, pelbagai kempen berkaitan sedang giat dilaksanakan.
“Sebelum ini, saya telah umumkan bahawa bermula 1 Mac (tahun ini), semua beg plastik sekali guna tidak digalakkan dan ia (penguatkuasaan itu) akan dibuat secara berperingkat.
“Pada masa yang sama juga, iaitu bermula 1 Mac hingga 30 Mei, kerajaan negeri akan mula membekalkan ‘recycle bag’ (beg kitar semula) secara percuma kepada pengguna-pengguna di negeri ini.
“Tempoh tiga bulan berikutnya iaitu bermula 1 Jun hingga 31 Ogos pula, beg-beg itu perlu dibeli jika ingin dimiliki sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan terhadap larangan penggunaan beg plastik iaitu bermula 1 September,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, beliau hadir pada Kempen Hentikan Plastik Sekali Guna di Pasar Awam Chai Leng Park, Perai di sini yang disempurnakan Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara, Tan Lean Kee.
Pertubuhan Wanita Mutiara turut mengagihkan kira-kira 132 unit mangkuk tingkat kepada peniaga gerai makanan.
Tambah Sundarajoo, kerajaan negeri juga sedang berusaha mencari alternatif terbaik bagi menggantikan produk plastik yang lain seperti straw minuman dan mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan produk kertas pada masa depan.
“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak barangan daripada bahan biodegradasi sekarang ini bagi tujuan itu.
“Jadi, besar harapan saya untuk melihat, bermula 1 September ini iaitu sehari selepas kita merdeka (sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos), kita akan benar-benar ‘merdeka’ daripada belenggu beg plastik ini juga,” ujarnya.
Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengarahkan peniaga untuk tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma menerusi program ‘tiada beg plastik percuma’ pada 2009.
Selain itu, bermula 2009 juga, Pulau Pinang memperkenalkan kempen tiada beg plastik pada Isnin hingga Rabu manakala setiap Khamis hingga Jumaat, setiap beg plastik dikenakan caj sebanyak RM1.
Difahamkan, sehingga tahun lalu, kerajaan negeri berjaya mengutip sebanyak RM8 juta hasil daripada pelaksanaan program berkenaan. – UTUSAN










