Mesir rangka pembinaan semula Gaza tanpa Hamas

Mesir rangka pembinaan semula Gaza tanpa Hamas

BEBERAPA rakyat Palestin memeriksa kerosakan bangunan yang musnah di Jabalia, utara Gaza semasa tempoh gencatan senjata, pada 6 Februari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Mesir, dengan sokongan Bank Dunia, sedang merangka pelan alternatif untuk masa depan Gaza, yang menolak cadangan Presiden Donald Trump menjadikan wilayah itu sebagai ‘Riviera Asia Barat’ milik Amerika Syarikat (AS).

Di bawah rancangan itu, pejuang Hamas secara rasmi akan dikecualikan daripada pemerintahan dan kawalan terhadap pembinaan semula wilayah tersebut.

Proses itu akan diserahkan secara sementara kepada kawalan jawatankuasa sokongan sosial atau komuniti, tanpa kehadiran mana-mana pemimpin Hamas, lapor The Guardian.

Negara Arab, terutama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, bersedia menawarkan dana untuk pembinaan semula wilayah, dengan syarat rakyat Palestin dibenarkan kekal di Gaza dan tidak dipaksa mencari perlindungan sementara atau tetap ke Mesir serta Jordan.

Proses pemulihan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun, dengan 65 peratus harta di Gaza musnah.

Sumber Eropah mengaku isu jaminan keselamatan Israel di Gaza masih belum diselesaikan berikutan tiada negara Arab yang bersedia menghantar tentera tanpa jaminan rejim terhadap hala tuju politik bagi penubuhan negara Palestin.

Sidang kemuncak Arab dijadualkan berlangsung di Riyadh pada 27 Februari depan, di mana alternatif kepada rancangan Trump untuk Gaza akan dibincangkan dan sebahagiannya didedahkan.

Setakat ini, Arab Saudi belum secara jelas menyeru supaya Hamas dikecualikan daripada proses pembinaan semula atau pemerintahan Gaza.

Namun, penasihat diplomatik kanan UAE, Anwar Gargash memuji gesaan Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit, yang meminta Hamas melepaskan pentadbiran wilayah itu, sebagai langkah ‘wajar dan rasional’.

“Kepentingan rakyat Palestin mesti didahulukan berbanding kepentingan gerakan, terutama dalam situasi seruan menyingkirkan rakyat Palestin dari Gaza serta peperangan yang memusnahkan wilayah dan merobek struktur manusia serta sosial akibat keputusan itu,” kata Ahmed.

Jawatankuasa yang dicadangkan dalam rancangan Arab dijangka merangkumi teknokrat bebas dan wakil masyarakat sivil serta kesatuan, untuk memastikan tiada satu puak mendominasi.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak menyokong rancangan jawatankuasa itu, ekoran bimbang ia boleh membawa kepada perpecahan kekal antara Tebing Barat dan Gaza melalui dua sistem pentadbiran berasingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN