Mesir makin terbeban, tak mampu tampung rakyat Gaza

Mesir makin terbeban, tak mampu tampung rakyat Gaza

PENDUDUK Palestin berjalan melalui kawasan yang dikelilingi kemusnahan di Jabalia, utara Gaza, semasa gencatan dalam perang antara pejuang Hamas dan Israel, pada 6 Februari lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Sudah menampung hampir 10 juta pendatang dan pelarian, Mesir kini berdepan tekanan untuk memberikan perlindungan kepada ratusan ribu penduduk Gaza.

Ini susulan, cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya kira-kira 1.5 juta penduduk dari wilayah Palestin itu dipindahkan ke Mesir dan Jordan.

Rancangan itu mendapat tentangan daripada kepemimpinan kedua-dua negara, dengan Kaherah menganggap langkah tersebut tidak adil kepada rakyat Palestin serta berpotensi mengancam ekonomi dan keselamatannya.

NEGARA PALING PADAT PENDUDUK

Mesir merupakan penandatangan kepada perjanjian antarabangsa utama yang mentakrifkan hak pelarian dan kewajiban negara, termasuk Konvensyen Pelarian 1951, Protokol 1967 serta Konvensyen Pertubuhan Kesatuan Afrika 1969.

Walaupun statistik rasmi menunjukkan Mesir menampung lebih daripada sembilan juta pelarian dan pencari suaka, hanya 822,701 daripada mereka yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) setakat Oktober.

Akses kepada banyak perkhidmatan biasanya memerlukan pendaftaran dengan UNHCR atau salah satu rakan kongsinya.

Menurut angka PBB, pelarian berdaftar di Mesir berasal dari 59 negara, termasuk Sudan, Syria, Sudan Selatan, Eritrea, Ethiopia, Yaman, Somalia dan Iraq.

Sehingga Oktober 2023, warga Sudan merupakan kumpulan terbesar, diikuti oleh rakyat Syria.

Konflik berterusan di Libya, Yaman dan Iraq juga memaksa berjuta-juta orang mencari perlindungan dan jalan keluar dari kemiskinan di Mesir, kini menjadi negara paling padat penduduk di dunia Arab, yang turut mengalami ketidakstabilan serta kesukaran.

Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly berkata, Mesir menampung 40 peratus daripada pelarian Sudan tahun lalu, 1.5 juta pelarian Syria sejak 2012 dan dijangka menerima lebih ramai penduduk Palestin yang dipindahkan dari Gaza.

Sejak Israel melancarkan kempen ketenteraannya di Gaza pada 7 Oktober 2023, hampir semua 2.2 juta penduduk Gaza dipindahkan dari kediaman mereka sekurang-kurangnya sekali.

Menurut Duta Palestin di Kaherah, Diab Al-Louh, seramai 100,000 penduduk Gaza berjaya menyeberang ke Mesir sebelum Israel menawan lintasan sempadan Rafah pada Mei.

Ramai di antara mereka tidak mempunyai dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan anak ke sekolah, membuka perniagaan, melancong atau mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

RISIKO KESELAMATAN

Trump pertama kali mencadangkan idea untuk memindahkan penduduk Gaza secara besar-besaran pada 25 Januari lalu, serta mengulangi lagi dengan menyatakan mahu wilayah Palestin ‘dibersihkan sepenuhnya’ bagi pembinaan semula selepas perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, 19 Januari.

Pada 4 Februari, Trump mengorak langkah lebih jauh dengan mengumumkan rancangan untuk AS ‘mengambil alih’ Gaza dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington D.C.

Trump menegaskan mahu AS mengambil pemilikan jangka panjang dan menjadikan wilayah Mediterranean Timur itu sebagai ‘Riviera Asia Barat’.

Beliau turut mencadangkan supaya penduduk Palestin dipindahkan jauh dari Gaza, ke kawasan yang kini ditolak para pemimpin.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai bebanan ditanggung oleh belanjawan negara dan komuniti tuan rumah akibat kemasukan pelarian, selain kekurangan sokongan antarabangsa di tengah peningkatan jumlah penduduk yang dipindahkan.

Dalam mesyuarat pada 27 Januari dengan ketua tiga agensi PBB di Geneva, Badr sekali lagi menegaskan gesaan Mesir untuk pengagihan tanggungjawab lebih adil dan mampan, serta menggesa Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) membantu mengurus aliran pendatang dan memperkukuh kapasiti Mesir dalam menampung pelarian sedia ada.

Pada 28 Januari, beliau memberitahu Semakan Berkala Sejagat mengenai Hak Asasi Manusia di Geneva bahawa negaranya memikul tanggungjawab besar bagi pihak masyarakat antarabangsa dengan menampung 10.7 juta warga asing, termasuk pelarian serta pendatang tidak tetap.

Beliau menegaskan, kapasiti Kaherah untuk menampung dan meneruskan usaha itu berada dalam keadaan berisiko, memandangkan sokongan antarabangsa yang tidak mencukupi berbanding bebanan ditanggung.

April tahun lalu, Mostafa berkata, menampung kira-kira sembilan juta pelarian terpaksa menelan belanja sekitar AS$10 bilion (RM44 bilion) setahun, ketika Kaherah sendiri bergelut dengan krisis ekonomi meskipun menerima bantuan kewangan daripada Kesatuan Eropah (EU), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia serta pihak lain bagi mengelakkan keruntuhan.

Pendapatan Mesir daripada Terusan Suez juga merosot lebih 60 peratus pada 2024, mengakibatkan kerugian sebanyak AS$7 bilion (RM31bilion) berbanding tahun sebelumnya, menurut Presiden Abdel Fattah el-Sisi dalam kenyataan pada Disember.

Namun, kesan ekonomi bukanlah satu-satunya kebimbangan mengenai rancangan memindahkan penduduk Gaza ke Mesir, kerana pegawai percaya langkah itu juga boleh mengancam keselamatan negara dan wilayah.

Dalam sidang akhbar pada 29 Januari lalu, El-Sisi menegaskan pemindahan rakyat Palestin tidak boleh dibenarkan kerana memberi kesan terhadap keselamatan negara Mesir.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN