KPM tingkat langkah keselamatan di sekolah

KPM tingkat langkah keselamatan di sekolah

FADHLINA Sidek bersama penerima sumbangan kelengkapan sekolah sempena Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam. – MINGGUAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah bagi memastikannya tidak terdedah kepada sebarang ancaman keselamatan termasuk pihak yang cuba menipu kakitangan awam melalui skim pinjaman kewangan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbiran sekolah diminta supaya lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran penganjuran sesuatu program.

“Kalau boleh, rujuk ke kementerian untuk kita pastikan sama ada mereka ini adalah orang yang datang dengan hasrat yang betul ataupun mempunyai agenda lain,” katanya selepas menyampaikan bantuan sumbangan kelengkapan sekolah menerusi Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 di Nibong Tebal di sini, semalam.

Menurutnya, pihak sekolah perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam hal itu dan apa sahaja perkara yang ditawarkan, mesti dilihat dengan bersungguh-sungguh kerana ia melibatkan keselamatan.

“Kita sentiasa mengingatkan semua guru, pegawai-pegawai kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga menangani daripada terjebak dalam aktiviti ini,” katanya.

Fadhlina berkata, kementerian tidak pernah memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat yang ada unsur ‘scam’ untuk masuk ke kawasan sekolah.

“Sebab itu, perkara ini kita sedang siasat dengan teliti bagaimana mereka boleh ma­suk sampai ke premis-premis KPM dan kita percaya, barangkali mereka masuk sekolah dengan kebenaran individu, bukan kebenaran rasmi.

“Kita juga sudah pun menye­rahkan perkara ini ke peringkat pihak berkuasa dan diharapkan ia dapat disiasat dengan segera supaya nasib penjawat awam khususnya guru-guru dapat dibela,” ujarnya.

Sementara itu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kementerian menjangkakan kos baik pulih kerosakan sekolah yang rosak akibat banjir baru-baru ini menelan belanja besar.

Katanya, banyak tempat yang tidak dijangka dilanda banjir khususnya di beberapa kawasan sehingga menyebabkan ada antara sekolah yang mengalami kerosakan sepenuhnya.

“Ini menyebabkan persiapan kita kali ini jauh lebih penting kerana hanya tinggal seminggu sahaja lagi sekolah bakal dibuka,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN