Kerajaan setuju pinda akta bagi mudahkan himpunan aman

Kerajaan setuju pinda akta bagi mudahkan himpunan aman

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) untuk memudahkan mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan aman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkara akan dipinda dalam akta berkenaan termasuk mendapatkan kelulusan daripada penghuni premis untuk me­ngadakan perhimpunan.

“Ini bermakna, keperluan mendapat kelulusan tempat yang disebut dalam beberapa perkara itu akan dipinda dan diketepikan, iaitu Seksyen 11 Akta 736 hendaklah peroleh persetujuan pemunya atau penghuni tempat yang jadi pertikaian sekarang, akan dikeluarkan daripada peraturan yang ditetapkan.

“Yang diperlukan hanyalah pemberitahuan lima hari sebelum supaya polis dapat jaga keselamatan kawalan dan lalu lintas,” katanya di Dewan Rak­yat, semalam.

Perdana Menteri menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) yang bertanya adakah kerajaan bersedia meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.

Anwar turut memaklumkan, siasatan terhadap 10 orang mahasiswa berikutan Perhimpunan Anti Rasuah yang dianjurkan baru-baru ini akan dihentikan dan memberi jaminan tiada sebarang tindakan yang akan diambil.

“Begitu juga pihak yang terlibat dengan aktiviti mogok lapar bantahan tunjuk pera­saan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012) beberapa hari lalu, juga tidak akan diambil tindakan.

“Walaupun pindaan akan dibuat pada sesi akan datang, kita sudah beri moratorium, maknanya polis tidak akan mengguna pakai undang-undang itu dan memberi kelonggaran dengan maksud pemakluman, pemberitahuan lima ha­ri supaya polis tahu di mana perlu menjaga lalu lintas dan keselamatan.

“Ini berita baik dari kerajaan Madani yang belum pernah dibuat kerajaan terdahulu termasuk kerajaan sana (Perikatan Nasional),” ujarnya.

Sebelum ini, 10 mahasiswa yang terbabit dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu dipanggil polis untuk siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta 736.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan pada minggu lalu dihadiri kira-kira 200 peserta yang berarak dari pusat beli-belah terkemuka ke Dataran Merdeka.

Sebanyak tiga tuntutan dikemukakan kepada kerajaan pada himpunan terbabit antaranya menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara daripada Pejabat Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×