Kerajaan Prabowo dikritik anjur 'glamping' untuk pemimpin wilayah

Kerajaan Prabowo dikritik anjur ‘glamping’ untuk pemimpin wilayah

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia dikritik kerana menganjurkan percutian ‘glamping’ selama seminggu untuk ratusan pemimpin wilayah minggu ini, ketika Presiden Prabowo Subianto melaksanakan pemotongan bajet negara.

Jurucakap Presiden, Hariqo Wibawa Satria mengesahkan lebih 500 datuk bandar, gabenor dan ketua daerah akan dibawah ke akademi berkonsep kententeraan di bandar Jawa Tengah Magelang.

Lokasi itu sebelum ini digunakan oleh Kabinet Prabowo bagi perkhemahan mewah pada Oktober lalu.

Prabowo, 73, yang pernah dikaitkan dengan pencabulan hak asasi manusia di era pemerintahan diktator Suharto pada lewat 1990-an, bertekad untuk memperkukuh disiplin serta kesatuan dalam kalangan pemimpin tertinggi negara.

Menurut Hariqo, sesi latihan itu akan berlangsung dari 21 hingga 28 Februari dengan kehadiran presiden dalam beberapa sesi tertentu.

Peserta akan diberikan latihan berkaitan tadbir urus, penambahbaikan perkhidmatan awam serta ‘pembinaan hubungan’.

Bagaimanapun, program yang menelan belanja sebanyak 13.2 bilion rupiah (RM3.94 juta) di bawah peruntukan Kementerian Dalam Negeri itu mengundang kritikan hebat, terutama dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan netizen.

Kritikan semakin memuncak apabila program tersebut diadakan dalam keadaan Prabowo melaksanakan pemotongan belanjawan sebanyak 306.7 trilion rupiah, Januari lalu.

Transparency International Indonesia dalam satu kenyataan menyifatkan pemotongan belanjawan Prabowo sebagai tindakan yang ‘bertentangan dan tidak sensitif’ terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam menangani beban kewangan negara.

Namun, Hariqo mempertahankan keputusan itu dengan alasan sesi latihan tersebut sebelum ini mengambil masa satu setengah bulan di dua institusi berasingan dan memendekkan tempoh latihan seiring dengan langkah penjimatan kerajaan.

Sementara itu, beberapa pemerhati hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan Prabowo bersama sekutu rapatnya, termasuk Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin, berpotensi memperkukuh peranan ketenteraan dalam sistem demokrasi sekular Indonesia yang mempunyai sekitar 280 juta penduduk. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN