Kemarau: Pakai pelitup muka, minum air mencukupi

Kemarau: Pakai pelitup muka, minum air mencukupi

MAT Lazim Mohammad (kanan) menyantuni murid tahun satu semasa turun padang ke Sekolah Kebangsaan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menggalakkan semua murid dan pelajar sekolah supaya memakai pelitup muka berikutan peralihan kepada cuaca kemarau ketika ini.

Timbalan Pengarah Sektor JPN (Perancangan dan Pengurus Pejabat Pendidikan Daerah), Mat Lazim Mohammad berkata, tindakan itu sebagai langkah awal untuk mengelakkan murid dan pelajar berdepan gejala demam, batuk dan selsema.

“Pelitup muka tidak wajib kepada mereka, tetapi kita galakkan supaya mereka memakainya demi menjaga kesihatan diri dan mengikut kesesuaian.

“Musim kemarau ini, mereka juga dinasihatkan supaya membawa minuman secukupnya sepanjang sesi persekolahan,” katanya pada majlis Hari Persekolahan Bagi Sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1 di sini, semalam.

Seramai 259,048 murid dan pelajar melibatkan 595 buah sekolah rendah seluruh negeri memulakan sesi persekolahan bagi 2025/2026 semalam.

Mat Lazim berkata, pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada pengurusan sekolah dari semasa ke semasa mengenai situasi cuaca berpandukan kepada data dari Jabatan Metreologi Malaysia (MetMalaysia).

Katanya, aktiviti di kawasan padang akan dikurangkan bagi menggelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 22 buah sekolah yang terjejas dengan banjir hujung tahun lalu kembali beroperasi bagi penggal tahun tahun ini.

Katanya, kesemua sekolah itu melibatkan daerah Tumpat dan Pasir Mas.

“Kita berterima kasih kepada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana menyalurkan bantuan dan sumbangan untuk keperluan sekolah dengan menyediakan kelengkapan bersesuaian.

“Sebelum sekolah dibuka, semua peralatan sudah disiapkan lebih awal. Saya juga difahamkan masih ada lagi pihak tertentu untuk menyalurkan sumbangan bagi tujuan tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN