NEW YORK: Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan merupakan individu pertama dikenakan sekatan ekonomi dan perjalanan yang diluluskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sekatan itu menyasarkan tribunal jenayah perang berhubung siasatan terhadap pemimpin sekutu AS, Israel berhubung jenayah perangnya di Gaza.
Karim Khan yang berasal dari Britain dinamakan dalam lampiran perintah eksekutif yang ditandatangani Trump, minggu lalu.
Jumaat lalu, Reuters melaporkan bahawa Washington menetapkan Khan sebagai sasaran sekatan tersebut.
Tindakan ini sama seperti yang dilakukan Trump semasa penggal pertamanya, termasuk membekukan aset di AS dan melarang individu yang dikenakan sekatan serta keluarga mereka daripada memasuki negara itu.
ICC mengecam sekatan itu dan berikrar untuk terus menyokong kakitangannya serta memberikan keadilan kepada berjuta-juta mangsa kekejaman di seluruh dunia.
Pegawai mahkamah turut bertemu di The Hague bagi membincangkan implikasi sekatan berkenaan.
ICC yang ditubuhkan pada 2002 mempunyai bidang kuasa antarabangsa untuk mendakwa kes pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan perang di negara anggota atau jika sesuatu kes dirujuk oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berdasarkan perjanjian antara PBB dan Washington, Karim Khan sepatutnya bebas ke New York bagi memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai kes-kes yang telah dirujuk kepada ICC.
Setakat ini, Majlis Keselamatan merujuk situasi di Libya dan wilayah Darfur, Sudan kepada mahkamah tersebut.
“Kami percaya bahawa sebarang sekatan terhadap individu perlu dilaksanakan selaras dengan kewajiban negara tuan rumah di bawah perjanjian ibu pejabat PBB,” kata jurucakap Timbalan PBB, Farhan Haq.– AGENSI










