GAZA: Hamas mengancam untuk menangguhkan pembebasan tebusan yang dijadualkan Sabtu ini sehingga diberitahu kelak, susulan dakwaan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel di Gaza.
Jurucakap sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, Abu Obeida dalam kenyataan berkata, tahanan tersebut akan kekal ditahan sehingga pihak penjajah mematuhi segala perjanjian terdahulu dan memberi pampasan sewajarnya.
“Kepemimpinan pergerakan ini memantau pelbagai pelanggaran yang dilakukan oleh musuh sepanjang tiga minggu lalu dan ketidakpatuhan mereka terhadap terma perjanjian yang dipersetujui,” katanya.
Israel dan Hamas kini berada dalam tempoh gencatan senjata selama enam minggu, di mana Hamas membebaskan puluhan tebusan Israel yang ditahan semasa serangan pada 7 Oktober 2023, sebagai pertukaran bagi hampir 2,000 tahanan Palestin.
Menurut Abu Obeida, antara pelanggaran yang dilakukan Israel termasuk melengahkan kepulangan penduduk Palestin ke utara Gaza, menyerang mereka dengan tembakan dan bedilan meriam di pelbagai kawasan, serta gagal membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan seperti yang dipersetujui.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada bulan lalu, kedua-dua pihak telah melaksanakan lima pertukaran tahanan yang menyaksikan 21 rakyat Israel dan lebih 730 tahanan Palestin dibebaskan.
Pertukaran seterusnya yang dijadualkan pada Sabtu ini, sepatutnya melibatkan pembebasan tiga tahanan Israel sebagai balasan kepada ratusan tahanan Palestin.
Namun, terdapat beberapa orang awam Palestin dilaporkan ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel ketika mereka kembali ke kediaman masing-masing.
Jumlah pesakit Palestin yang cedera dan dipindahkan keluar dari Gaza serta trak bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk juga jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan dalam perjanjian gencatan senjata tersebut.
Pengumuman Briged Al-Qassam ini turut dibuat selepas kenyataan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mempersoalkan keberlangsungan perjanjian gencatan senjata itu di mana beliau berulang kali menyeru pengusiran etnik rakyat Gaza dan menyatakan negara kuasa besar itu akan mengambil pemilikan ke atas wilayah tersebut.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata ini akan tamat pada 1 Mac, manakala fasa kedua yang dijangka menyaksikan pembebasan semua tahanan dan gencatan senjata kekal masih belum dimuktamadkan.
Fasa ketiga pula dirancang untuk memperkenalkan pelan pembinaan semula Gaza yang mengambil masa bertahun-tahun.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini menegaskan komitmennya untuk memenuhi matlamat peperangan, termasuk memusnahkan keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas.- AL JAZEERA










