GAZA: Pejuang Hamas dan rejim Israel melaksanakan pertukaran kelima di bawah perjanjian gencatan senjata ‘rapuh’ melibatkan tiga tebusan dan 183 tahanan Palestin, semalam.
Dalam pertukaran terbaharu, Kelab Tahanan Palestin mengecam kekejaman dan layanan buruk di penjara Israel apabila tujuh daripada mereka memerlukan rawatan di hospital Tebing Barat.
“Semua tahanan yang dibebaskan hari ini (Sabtu) memerlukan rawatan perubatan akibat kekejaman yang mereka hadapi dalam penjara,” kata kumpulan advokasi itu.
Hamas dalam satu kenyataan menuduh Israel melakukan serangan dan penganiayaan sistematik terhadap tahanan Palestin, yang disifatkan pejuang sebagai ‘dasar pembunuhan secara perlahan’.
Pertukaran kelima berlaku ketika rundingan untuk fasa seterusnya dijadualkan bermula, yang diharap dapat membuka laluan ke arah gencatan senjata kekal di Gaza.
Ia juga berjaya dilaksanakan meskipun selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan Washington mengambil alih Gaza dan rancangannya mengusir penduduk Palestin dari tanah air sehingga mencetuskan kecaman antarabangsa.
Cadangan mengejut Trump untuk memindahkan penduduk Palestin keluar dari Gaza, dilihat tidak menjejaskan fasa semasa gencatan senjata yang berjalan sehingga awal Mac.
Namun, rancangan itu berisiko menyulitkan rundingan fasa kedua, apabila Hamas dijangka membebaskan lebih ramai tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata kekal di wilayah terkepung tersebut.
Terdahulu, Israel mengesahkan tiga tebusannya, Eli Sharabu, 52; Ohad Ben Ami, 56 dan Or Levy, 34, sudah berada di Israel selepas dibawa pulang oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), kelmarin.
Dengan pembebasan mereka, seramai 73 daripada 251 tebusan yang ditawan semasa serangan Oktober 2023 masih berada di Gaza, termasuk 34 yang disahkan terbunuh oleh tentera Israel.
Rundingan untuk fasa kedua dijangka bermula Isnin, namun tiada maklumat lanjut mengenai perkembangan perbincangan itu.– THE GUARDIAN










