Indonesia, Apple setuju tarik balik larangan jual iPhone 16

Indonesia, Apple setuju tarik balik larangan jual iPhone 16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia dan Apple bersetuju untuk menarik balik larangan secara bersyarat terhadap iPhone 16, lapor Bloomberg.

Perjanjian tersebut dijangka mengakhiri pertikaian selama lima bulan yang memaksa syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu meningkatkan pelaburannya di Indonesia kepada AS$1 bilion (RM4.4 bilion)

Kementerian Perindustrian, yang bertanggungjawab menguatkuasakan larangan itu, dijangka menandatangani memorandum perjanjian dengan Apple seawal minggu ini, menurut sumber yang enggan didedahkan.

Sumber itu juga mendakwa, satu sidang media akan diadakan, dengan kementerian berhasrat untuk mengeluarkan permit bagi membolehkan penjualan iPhone 16 secepat mungkin.

Perjanjian itu menamatkan pertikaian yang bermula pada Oktober lalu, apabila Indonesia enggan mengeluarkan permit penjualan bagi peranti terbaharu Apple, atas alasan gagal mematuhi syarat pembuatan tempatan untuk telefon pintar dan tablet.

Apple kemudian berjanji untuk melabur AS$1 bilion di Indonesia, tawaran yang diarahkan oleh Presiden Prabowo Subianto untuk diterima oleh jemaah menteri.

Namun, pada Januari lalu, Kementerian Perindustrian secara mengejut mengekalkan larangan itu kerana mahukan syarat yang lebih baik.

Sebagai tambahan kepada pelaburan, Apple juga akan komited melatih tenaga kerja tempatan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk syarikat, supaya dapat membangunkan perisian serupa dan mereka bentuk produk sendiri.

Langkah itu dijangka dapat memenuhi tuntutan kerajaan yang sekian lama mendesak Apple untuk menubuhkan kemudahan R&D di Indonesia, kata sumber.

Pelaburan inovasi itu akan dilakukan melalui program lain, selain daripada akademi Apple yang sedia ada, dakwa seorang lagi sumber.

Apple juga tidak mempunyai rancangan segera untuk memulakan pengeluaran iPhone di Indonesia, katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN