NEW YORK: Sebuah organisasi bukan untung yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat bekas Presiden Joe Biden serta dua anggota Kabinetnya atas dakwaan bersubahat dalam jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
Gesaan itu dikemukakan oleh Democracy for the Arab World Now (DAWN) bulan lalu, tetapi didedahkan kepada umum kelmarin.
Organisasi itu menggesa ICC menyiasat Biden, bekas Setiausaha Negara, Anthony Blinken dan bekas Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, atas peranan mereka dalam membantu serta menyumbang kepada jenayah perang yang dilakukan Israel di Gaza.
Tahun lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant serta pemimpin Hamas, Mohamed Deif, atas dakwaan jenayah perang berkaitan konflik di wilayah itu.
Penghujahan setebal 172 muka surat, yang menurut DAWN disediakan dengan sokongan peguam berdaftar ICC dan pakar jenayah perang lain, mendakwa bekas pegawai AS itu melanggar artikel dalam Statut Rom melalui sokongan mereka terhadap Israel.
Menurut kenyataan media, permohonan kumpulan itu kepada ICC mendakwa pegawai terbabit sengaja memberikan sokongan ketenteraan, politik dan awam bagi membantu jenayah Israel di Gaza.
Ini termasuk pemindahan senjata bernilai sekurang-kurangnya AS$17.9 bilion (RM75 bilion), perkongsian risikan, bantuan bersasar, perlindungan diplomatik dan sokongan rasmi terhadap jenayah rejim.
DAWN menegaskan, Biden, Blinken dan Austin secara sengaja membantu jenayah Israel dengan terus memberikan sokongan politik dan ketenteraan, walaupun sedar tindakan itu mencabul hak asasi manusia.
Pengarah Eksekutif DAWN, Sarah Leah Whitson menuduh mereka bukan sahaja mengabaikan bukti jenayah Israel, bahkan meneruskan penghantaran senjata tanpa syarat, meskipun terdapat desakan daripada kakitangannya.
Kenyataan itu juga menyorot sokongan politik AS kepada Israel melalui veto terhadap beberapa resolusi gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Awal bulan ini, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang membenarkan sekatan ekonomi tegas terhadap ICC, selepas menuduhnya mengenakan tindakan tidak sah terhadap AS dan Israel.– THE GUARDIAN











