SEREMBAN: Seorang ibu kepada lima orang anak menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan hanya menjual biskut secara kecil-kecilan bagi menampung hidup.
Nur Farah Nabilah, 30, berkata, dia kini menggalas tanggunga itu selepas suaminya Mohd. Faizal Ali 40, menghidap penyakit gout kronik, sakit jantung dan darah tinggi sejak tujuh tahun lalu sehingga membataskan pergerakannya.
“Sebelum ini suami sama-sama berniaga di luar, dengan keadaan orang kurang upaya (OKU) tiada kaki sebelah kiri, namun tetap buka khemah berniaga, tetapi sekarang dia tidak boleh lagi berdiri seperti dulu.
“Kini suami hanya duduk atas kerusi roda boleh tampal pelekat botol dan bagi pelbagai idea untuk berniaga. Disebabkan fizikalnya yang terbatas, jadi saya kena jadi seperti tongkat dan kakinya,” katanya ditemui di Taman Iringan Bayu, Sendayan di sini.
Nur Farah Nabilah mengakui pelbagai cabaran dihadapinya dan keluarga setelah kesihatan suaminya semakin merosot.
“Saya hanya berniaga biskut secara kecil-kecilan di rumah, pendapatan kami sekeluarga tidak menentu antara RM900 hingga RM1,200 sebulan.
“Untuk perbelanjaan suami sahaja dari segi ubat-ubatan dan makanan tambahan sekitar RM300 hingga RM400 sebulan.
“Suami ada terima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebanyak RM550 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 namun wang itu digunakan untuk membayar duit sewa rumah dan utiliti,” katanya.
Katanya, dia berhasrat untuk membeli sebuah kabin supaya dapat berniaga dan memperoleh pendapatan secara tetap.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menghulurkannya ke akaun Maybank bernombor 155023404373 atas nama Nur Farah Nabilah. – UTUSAN











