SANA’A: Kumpulan Houthi di Yaman bersedia menyerang Israel sekiranya negara itu mengingkari perjanjian gencatan senjata dengan Hamas dan meneruskan serangan terhadap Gaza.
Pemimpin kumpulan itu, Abdel-Malik al-Houthi berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk melibatkan campur tangan ketenteraan jika berlaku peningkatan serangan terhadap wilayah Palestin.
“Tangan kami sudah bersedia untuk menarik picu,” katanya dalam ucapan, kelmarin.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran kepada Hamas untuk menamatkan gencatan senjata dan kembali meneruskan pertempuran sengit di Gaza jika kumpulan pejuang gagal mengembalikan tebusan Sabtu ini.
Beliau turut mengarahkan tentera Israel untuk berkumpul di dalam dan sekitar Gaza sebagai tindak balas kepada ancaman Hamas berhubung penangguhan pembebasan lebih ramai tebusan sehingga diberitahu kelak.
Houthi yang menguasai sebahagian besar wilayah barat Yaman termasuk ibu negara Sanaa melancarkan serangan sepanjang perang Gaza sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di kawasan itu.
Sejak November 2023, kumpulan itu melakukan lebih daripada 100 serangan ke atas kapal dagang dan tentera di Laut Merah, dengan melancarkan peluru berpandu serta dron ke arah Israel.
Mereka mengehadkan serangan selepas Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata bulan lalu bagi menamatkan peperangan.
Namun, perjanjian rapuh itu masih berada dalam fasa pertama daripada tiga fasa dan ia kelihatan semakin goyah kerana Israel berulang kali melanggar syarat-syarat ditetapkan.
Fasa pertama perjanjian itu melibatkan pertukaran tawanan, pengunduran sebahagian tentera Israel serta peningkatan bantuan ke dalam wilayah tersebut.
Selain itu, fasa kedua yang butirannya masih belum dipersetujui dijangka membawa kepada penamat sepenuhnya dalam peperangan.
Manakala, fasa ketiga bertujuan untuk menggerakkan usaha pembinaan semula wilayah Palestin yang musnah.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 48,219 rakyat Palestin terbunuh dalam peperangan yang memusnahkan hampir keseluruhan wilayah, menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal dan diambang bencana kemanusiaan.- AL JAZEERA










