FLLSPG acara mesra keluarga, dinanti rakyat Johor

FLLSPG acara mesra keluarga, dinanti rakyat Johor

PETUGAS membuat persiapan sempena Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang Ke-27 di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Ke-27 bermula semalam, merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan rakyat negeri ini, khususnya yang menetap di sekitar Pasir Gudang.

Seorang peniaga, Mohd. Zaki Supaid, 42, berkata, FLLSPG yang diadakan di Bukit Layang-Layang merupakan acara tahunan terbesar di Pasir Gudang dan penganjurannya menjadi acara wajib dikunjunginya bersama keluarga, apatah lagi penganjuran pada musim cuti sekolah.

“Pasir Gudang merupakan bandar perindustrian dan tidak banyak acara atau program besar diadakan di kawasan ini. Jadi, FLLSPG adalah antara acara yang amat dinanti-nantikan warganya.

“Kebetulan festival tahun ini diadakan pada musim cuti sekolah, lebih mudah untuk ibu bapa membawa anak-anak me­ngunjungi program yang mesra keluarga seperti ini,” katanya.

Pekerja swasta, Siti Musliha Zahari, 37, pula memberitahu, dia sekeluarga sudah mengunjungi FLLSPG sejak 10 tahun lalu.

“FLLSPG ini merupakan antara acara yang kami sekeluarga akan kunjungi. Ketika waktu pandemik ia dihentikan selama beberapa tahun, masa itu rasa sedih juga kerana anak-anak kerap bertanya kenapa tiada program layang-layang.

“Alhamdulillah, kini penganjurannya disambung semula dan saya memang bawa anak-anak datang di sini, mereka sa­ngat teruja,” katanya.

FLLSPG edisi ke-27 yang berlangsung hingga Ahad ini disertai seramai 376 peserta dari 44 negara, termasuk Indonesia, China, Singapura, Thailand, England, Australia, Portugal dan Argentina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN