Elon Musk tidak berminat beli TikTok

Elon Musk tidak berminat beli TikTok

FOTO menunjukkan aplikasi TikTok pada skrin telefon pintar di hadapan logo aplikasi video popular milik China itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jutawan terkenal, Elon Musk menegaskan tidak berminat untuk membeli aplikasi video pendek popular dari China, TikTok, yang cuba diharamkan oleh Amerika Syarikat (AS) atas kebimbangan keselamatan negara.

Kenyataan Musk, yang dibuat pada akhir Januari, diterbitkan kelmarin oleh The WELT Group, sebahagian daripada syarikat media Jerman Axel Springer SE yang menganjurkan sidang kemuncak disertai pengasas platform X itu.

“Saya tidak membuat sebarang tawaran untuk TikTok dan saya tidak mempunyai rancangan jika memilikinya,” kata Musk dalam satu kenyataan melalui pautan video itu.

TikTok kini berdepan undang-undang AS yang mengarahkan syarikat itu dipisahkan daripada pemiliknya di China, ByteDance, atau sebaliknya diharamkan di Amerika ekoran kebimbangan keselamatan negara mengenai data pengguna yang dikumpulkan.

Dalam satu daripada tindakan pertamanya selepas memegang jawatan, Donald Trump mengarahkan penangguhan penguatkuasaan undang-undang yang mengharamkan TikTok, sehari sebelum beliau memulakan penggal kedua sebagai presiden.

Tidak lama selepas itu, Trump menyatakan keterbukaannya terhadap kemungkinan Musk – yang berperanan sebagai penasihat utamanya – membeli platform tersebut.

Bagaimanapun, Musk menegaskan bahawa dirinya tidak berminat untuk memperoleh TikTok.

“Saya sendiri tidak menggunakan TikTok, anda tahu, saya tidak begitu mengetahuinya. Saya tidak terdesak untuk memperoleh TikTok,” katanya.

Musk membeli gergasi media sosial Twitter, yang kini dinamakan sebagai X, dengan harga AS$44 bilion (RM195 bilion) pada 2022, dengan alasan untuk melindungi ‘kebebasan bersuara’.

Sejak pengambilalihan itu, aktivis hak asasi manusia memberi amaran peningkatan ucapan kebencian dan maklumat palsu di platform tersebut.

Musk merupakan penyokong kewangan utama Trump dalam kempen presidennya dan kini mengetuai inisiatif pengurangan bajet Presiden AS itu.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN