WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan agensi kerajaan mengecilkan jumlah kakitangan awam persekutuan, termasuk memansuhkan peranan tertentu.
Arahan itu berkuat kuasa sejurus Trump menandatangani perintah eksekutif baharu kelmarin, untuk pegawai agensi merangka rancangan pemotongan ‘skala besar’ kepada tenaga kerja persekutuan.
Ini termasuk memberikan kuasa tambahan kepada penasihatnya, Elon Musk untuk meluluskan pelantikan pegawai kerajaan akan datang.
Perintah itu memberikan kuasa kepada Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di bawah Musk dalam membentuk Perkhidmatan Awam, selaras dengan usaha pentadbiran Trump untuk mengurangkan jumlah kakitangan kerajaan secara drastik.
Dasar baharu itu menetapkan jabatan eksekutif perlu mendapatkan kelulusan pengambilan pekerja daripada pegawai yang bekerjasama dengan pasukan Musk, kecuali bagi agensi penguatkuasaan undang-undang dan imigresen.
Menurut perintah itu, setiap agensi persekutuan, dengan beberapa pengecualian, hanya dibenarkan mengambil seorang kakitangan bagi setiap empat pekerja yang berhenti selepas pembekuan pengambilan baharu ditamatkan.
Bercakap kepada pemberita di Pejabat Oval kelmarin, Musk mempertahankan keputusannya dengan hanya mengetuai usaha untuk mengurangkan pembaziran kerajaan seperti yang diminta oleh Trump.
“Anda tidak boleh mempunyai birokrasi persekutuan yang beroperasi secara autonomi. Ia perlu responsif kepada rakyat,” kata Musk yang berdiri sebelah Trump sebelum perintah itu ditandatangani.
Dalam tempoh tiga minggu pertama pentadbiran Trump, pasukan Musk memasuki sekurang-kurangnya 19 agensi dan mengenal pasti beberapa program untuk dimansuhkan, menurut The New York Times.
Sebelum ini, beberapa ketua agensi memberi amaran mengenai pengecilan kakitangan yang bakal berlaku dan menggesa pekerja persekutuan mempertimbangkan tawaran pentadbiran Trump untuk meletak jawatan dan diletakkan dalam cuti berbayar sehingga akhir September.
Walaupun tawaran itu pada asalnya dijadualkan berakhir minggu lalu, program peletakan jawatan kini ditangguhkan sehingga hakim persekutuan di Massachusetts memutuskan keabsahannya.– AGENSI










