GAZA: Pihak Berkuasa Palestin (PA) menamatkan program pemberian elaun kepada keluarga rakyat Palestin yang terbunuh atau dipenjarakan oleh Israel, seperti yang dituntut Amerika Syarikat (AS) dan Tel Aviv sebelum ini.
Terdahulu, Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri yang membatalkan artikel undang-undang berkaitan dengan inisiatif elaun tersebut.
Perintah itu menggambarkan langkah tersebut sebagai penstrukturan semula, dengan memindahkan dana daripada Kementerian Pembangunan Sosial ke Yayasan Kebangsaan Palestin untuk Pemerkasaan Ekonomi.
Ia menyatakan bahawa keluarga yang terjejas masih layak menerima bantuan kebajikan seperti rakyat Palestin lain mengikut piawaian keadilan.
Namun, tidak jelas sama ada elaun itu dihentikan serta-merta atau diteruskan dalam bentuk baharu.
Inisiatif seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana banyak negara yang menyediakan bantuan khas kepada waris mangsa yang terkorban dalam konflik bersenjata.
Bagaimanapun, AS sudah lama mengkritik ‘dana syahid’ tersebut dengan menuduhnya sebagai ganjaran kepada penyerang Israel dan menggelarkannya ‘bayaran untuk membunuh’.
Pejuang Hamas mengutuk tindakan Abbas dan menyifatkannya sebagai tidak patriotik serta menggesa keputusan itu ditarik balik.
“Kita perlu menghargai pengorbanan para tahanan dan keluarga yang cedera serta syahid syahid, bukan meninggalkan mereka,” kata Hamas dalam kenyataannya, kelmarin.
Sebelum ini, Israel menyekat dan memotong hasil cukai Palestin sebagai tindak balas terhadap pembayaran tersebut.
Dekri yang dikeluarkan oleh Abbas ini dibuat ketika PA mendesak untuk menampilkan dirinya sebagai pilihan berwibawa di peringkat antarabangsa bagi mengambil alih Gaza.
Pasukan keselamatan PA juga bertindak keras terhadap pejuang yang komited dalam perjuangan menentang Israel di Tebing Barat yang diduduki.– AL JAZEERA










