Ceria dapat baju sekolah baharu

Ceria dapat baju sekolah baharu

NOOR Athirah Che Man menghantar anaknya, Muhamad Ziyaan Mohamad Zaidi memulakan persekolahan di SK Lambor Kanan di Perak Tengah, semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Selepas kelengkapan persekolahan musnah dalam kebakaran di rumah datuknya Sabtu lalu, seorang murid tahun satu, Muhamad Ziyaan Mohamad Zaidi, 7, kembali ceria memulakan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lambor Kanan dekat sini.

Ibu kepada murid tersebut, Noor Athirah Che Man, 25, berkata, anaknya kembali ceria kerana dapat hadir ke sekolah hari ini dengan lengkap sekolah baharu yang dibeli kelmarin.

Menurutnya, Muhamad Ziyaan pada awalnya bersedih selepas semua kelengkapan persekolahan yang sudah dibeli, musnah dalam kebakaran rumah datuknya di Kampung Toh Paduka Raja di sini.

Katanya, kerana mahu memastikan anaknya tidak terlepas menghadiri hari pertama persekolahan, dia membeli pakaian dan lain-lain kelengkapan persekolahan anaknya semalam di bandar Seri Iskandar.

“Walaupun kelengkapan sekolahnya musnah dalam kebakaran rumah datuknya, anak saya ini tetap bersemangat untuk memulakan persekolahan tahun satu hari ini (semalam).

“Dia meminta saya belikan pakaian sekolah baharu dan lain-lain kelengkapan persekolahan. Melihatkan dia begitu bersemangat untuk ke sekolah, semalam (kelmarin) saya ke bandar Seri Iskandar membelikan semua kelengkapan persekolahan untuknya.

“Walaupun terpaksa membelinya pada saat akhirnya, ia tak jadi masalah kerana semua kelengkapan mudah dibeli ketika ini. Sejak malam (kelmarin) tadi sebaik sahaja dapat baju dan seluar sekolah yang baru dibeli, dia sangat gembira dan pagi ini dia bangun awal serta semangat untuk bersekolah,” katanya.

Sementara itu, datuk kanak-kanak itu, Mohd. Razali Othman, 58, berkata, kebakaran itu berlaku begitu pantas dan dia sekeluarga hanya sempat menyelamatkan diri, dokumen penting dan motosikal.

“Seorang cucu saya akan masuk tahun satu. Baju sekolahnya semua terbakar, memang semua tidak sempat di­selamatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN