WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menarik balik penggantungan sumbangan makanan, sekali gus membolehkan penghantaran semula 500,000 tan metrik makanan yang sebelum ini tertangguh.
Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan pembatalan penggantungan sementara bantuan makanan dalam bentuk barangan yang dibeli daripada petani AS menggunakan dana Title II.
“Kami mengesahkan bahawa sekatan terbaharu terhadap bantuan makanan dalam bentuk barangan kepada WFP sudah ditarik balik.
“Ini membolehkan pembelian dan penghantaran makanan di bawah perjanjian USAID (Agensi Pembangunan Antarabangsa AS) sedia ada disambung semula,” kata kenyataan itu dalam hantaran di X.
Sebelum ini, Washington menghentikan pembelian komoditi hasil keluaran petani AS untuk tujuan sumbangan, meskipun pengecualian diberikan untuk bantuan makanan kecemasan.
Penggantungan itu dibuat selepas Presiden Donald Trump mengarahkan penangguhan semua bantuan luar negara selama 90 hari bagi menilai sama ada sumbangan tersebut selari dengan dasar luar, ‘America First’.
Kerajaan AS turut mengarahkan WFP menghentikan pelaksanaan puluhan geran yang dibiayai AS, hanya lima hari selepas Setiausaha Negara, Marco Rubio, mengeluarkan pengecualian untuk bantuan makanan.
Sebahagian besar daripada geran yang digantung adalah di bawah program Food for Peace Title II, yang memperuntukkan kira-kira AS$2 bilion (RM8.9 bilion) setiap tahun untuk sumbangan komoditi AS.
Program itu, yang merangkumi sebahagian besar bantuan makanan antarabangsa AS, dikendalikan bersama oleh Jabatan Pertanian dan USAID.
Penamatan penggantungan dijangka mempercepatkan penghantaran bantuan makanan ke negara-negara yang memerlukan, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai keselamatan bekalan makanan global. –AGENSI










