53,188 murid tahun satu mula bersekolah

53,188 murid tahun satu mula bersekolah

SEBAHAGIAN murid-murid darjah satu yang memulakan hari pertama persekolahan sesi 2025/2026 di SK Bukit Sawa, Marang. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 53,188 murid tahun satu mula bersekolah di Kedah dan Terengganu, semalam.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 600,000 murid dan pelajar yang memulakan sesi akademik 2025/2026.

Di Kedah, seramai 29,934 orang murid tahun satu menjadi sebahagian daripada 349,966 murid dan pelajar yang memulakan sesi akademik 2025/2026 di negeri ini, semalam.

Mereka menjejakkan kaki ke alam persekolahan di 548 buah sekolah rendah di seluruh nege­ri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman berkata, daripada 349,966 orang itu, seramai 200,575 merupakan murid sekolah rendah dan bakinya pelajar sekolah mene­ngah.

“Sebanyak 752 buah sekolah membabitkan 548 sekolah rendah dan 204 sekolah menengah telah mula beroperasi semalam. Kemasukan murid darjah satu bagi tahun 2025 seramai 29,934 orang manakala pelajar tingkatan satu berjumlah 30,194 orang,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang, semalam.

Tambahnya, pengoperasian semua sekolah di Kedah semalam berjalan lancar dengan kerjasama seramai 30,011 guru dan 4,320 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Di Terengganu pula, seramai 256,869 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri memulakan sesi persekolahan 2025/2026 bermula semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, mereka memulakan sesi pembelajaran di 506 sekolah.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 107,555 pelajar sekolah menengah, manakala 149,314 lagi murid sekolah rendah.

“Bilangan murid tahun satu bagi sesi akademik 2025/2026 juga meningkat kepada 23,254 orang daripada 22,126 pada sesi persekolahan lalu.

“Bagi minggu pertama ini, tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan. Jadual hanya sesi orientasi atau takruf untuk pastikan penyesuaian pelajar kepada persekitaran sekolah,” katanya selepas me­ninjau hari pertama persekolahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa Wakaf Tapai.

Jelani berkata, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM36,224,100 juga telah selesai diagihkan melibatkan 241,494 murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×