TRIPOLI: Pihak berkuasa Libya menemukan hampir 50 mayat dari dua kubur besar di padang pasir tenggara negara, dalam tragedi terbaharu melibatkan pendatang yang cuba menuju ke Eropah melalui Afrika Utara itu.
Direktorat keselamatan dalam kenyataan berkata, satu kubur besar yang ditemukan pada Jumaat di sebuah ladang di bandar tenggara Kufra mengandungi 19 mayat.
Ketua dewan keselamatan di Kufra, Mohamed al-Fadeil berkata, satu lagi kubur besar dengan sekurang-kurangnya 30 mayat turut ditemukan di bandar itu, selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah pusat tahanan pendatang.
Menurut keterangan mangsa yang terselamat, hampir 70 orang ditanam di lokasi itu dan pihak berkuasa masih meneruskan pencarian di kawasan tersebut.
Sebuah badan amal yang membantu pendatang dan pelarian di timur serta selatan Libya, Al-Abreen berkata, beberapa mayat yang ditemukan dalam kubur besar itu ditembak dan dibunuh sebelum dikebumikan.
Kubur besar yang mengandungi mayat pencari suaka sebelum ini pernah ditemukan di Libya, yang merupakan tempat transit utama pendatang dari Afrika dan Asia Barat yang cuba menuju ke Eropah.
Tahun lalu, pihak berkuasa menemukan sekurang-kurangnya 65 mayat pendatang di wilayah Shuayrif, selatan ibu negara Tripoli.
Pemerdagang manusia mendapat manfaat daripada ketidakstabilan selama lebih sedekad, menyeludup migran dan pelarian merentasi sempadan Libya dengan enam negara, termasuk Chad, Niger, Sudan, Mesir, Algeria serta Tunisia.
Kumpulan hak asasi dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama bertahun-tahun mendokumentasikan penderaan sistematik terhadap pencari suaka di Libya, termasuk buruh paksa, pukul, rogol dan penyeksaan.
Penderaan itu sering disertai dengan usaha untuk memeras wang daripada keluarga sebelum mangsa dibenar meninggalkan Libya dengan menaiki bot penyeludup.– AL JAZEERA










