MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 41 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori di selatan Mexico semalam, menurut kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan negeri Tabasco.
Bas yang membawa 48 penumpang itu dilaporkan bertembung dengan sebuah lori, mengakibatkan 38 penumpang dan dua pemandu maut di tempat kejadian.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan pemandu lori terbabit turut terkorban dalam nahas berkenaan.
Imej yang dirakam Reuters menunjukkan bas tersebut hangus sepenuhnya selepas terbakar sejurus perlanggaran, dengan hanya rangka logam yang tinggal sebagai bukti tragedi tersebut.
“Setakat ini, hanya 18 mayat disahkan, namun masih ramai mangsa yang belum ditemukan,” kata sumber keselamatan Tabasco yang enggan dikenali, sambil menambah kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Syarikat pengendali bas, Tours Acosta dalam hantaran di Facebook meluahkan kesedihan terhadap kejadian tersebut dan memaklumkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat punca kejadian.
Di samping itu, syarikat tersebut berkata, mereka sentiasa memastikan sama ada bas tersebut mematuhi had laju yang ditetapkan.
Kerja pemulihan masih dijalankan bagi mengenal pasti semua mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut. -AGENSI










