16,000 Orang Asli di Pahang peluk Islam

16,000 Orang Asli di Pahang peluk Islam

ASMADI Abdul Rahman menandatangani plak perasmian Surau Nur Al-Insan Kampung Orang Asli Pasu, Kuala Krau di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seramai 16,000 daripada kira-kira 95,000 Orang Asli memeluk agama Islam di negeri ini sehingga kini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, pelbagai pendekatan mesra dilakukan bagi memenangi hati masyarakat minoriti itu supaya cenderung untuk memeluk Islam.

“Antara pendekatan dilaksanakan adalah membina surau bernilai RM300,000 di kampung yang mempunyai ramai penganut Islam sebagai pusat dakwah mendalami Islam dan aktiviti masyarakat.

“Muip memperuntukkan sebanyak RM8.7 juta membina 29 surau di Kampung Orang Asli (KOA) sejak 2022 di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Surau Nur Al-Insan Kampung Orang Asli Pasu Kuala Krau di sini.

Seramai 80 orang daripada 30 keluarga suku Jahut yang menganut agama Islam memerlukan surau sebagai pusat dakwah dan aktiviti kemasyarakatan di kampung terbabit.

Surau ini dibina di atas tapak seluas kira-kira 0.202343 hektar hasil wakaf seorang penduduk Kampung Pasu, Razaly Kassim, 68, dan siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

Asmadi mengakui walaupun jumlah Orang Asli di negeri ini yang memeluk Islam bertambah tetapi secara relatif peratusannya masih kecil berbanding keseluruhan masyarakat itu daripada lapan etnik terbesar berjumlah lebih 95,000 orang.

Beliau menambah, setiap saudara baharu menerima elaun bulanan RM200 sebulan dan sagu hati kehadiran program dakwah serta mengimarahkan surau yang dianjurkan oleh Muip dan pegawai agama Islam.

“Muip bersyukur kerana semakin ramai Orang Asli dari seluruh negeri semakin tertarik dan mendekati ajaran Islam berikutan pergaulan mereka lebih mesra dengan masyarakat Melayu.

“Terdapat 90 pelajar Orang Asli belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Negeri seperti di Tanjung Besar, Lipis, Batu Talam, Raub, Pekan, Rompin dan Temerloh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN