BANGKOK: Kerajaan Thailand menggesa rakyat berketurunan Cina supaya tidak membakar replika kertas, kertas sembahyang dan colok bagi mengurangkan pencemaran udara yang semakin buruk.
Justeru, kerajaan menyarankan kertas digital secara dalam talian sebagai mengganti ritual pembakaran kertas sembahyang sebenar sempena tradisi Tahun Baharu Cina.
Jurucakap kerajaan, Anukul Prueksanusak berkata, mereka disaran menggunakan kertas digital, di mana barang yang menjadi ‘simbolik’ ritual dibakar secara dalam talian.
Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti udara, terutama apabila Bangkok dan beberapa bandar besar di Thailand dilanda bahan zarah halus berbahaya PM2.5.
Anukul berkata, pembakaran kertas sembahyang – yang menyerupai wang tunai dikenali sebagai wang roh atau nota neraka untuk digunakan nenek moyak di alam selepas mati – serta miniatur kertas barangan seperti pakaian, rumah, kereta dan elektronik serta colok, akan memburukkan kualiti udara.
Beliau turut memberi amaran pembakaran kertas sembahyang dan colok berisiko meningkatkan risiko kebakaran.
Sebagai penyelesaian, beliau menggalakkan kaum Cina untuk menggunakan kertas sembahyang dalam talian dan colok elektrik sebagai ganti.
Tahun Baharu Cina jatuh pada 29 Januari ini, dengan hari penyembahan nenek moyak disambut sehari sebelumnya.- ASIA NEWS NETWORK











