Pengampunan kena pohon melalui lembaga

Pengampunan kena pohon melalui lembaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua ban­duan yang mahu pengampunan atau pengurangan hukuman perlu membuat permohonan ke­pada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi semua kesa­lahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Sekiranya ada pihak mahu mana-mana banduan diberi ke­ampunan atau pengurangan hukuman, maka pihak itu bersama banduan perlu memohon dan kemukakan kepada Lembaga Pe­ngampunan.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membuat pertimbangan dalam me­syuarat Lembaga Pengampunan pada masa akan datang atas nasihat ahli-ahli lembaga tersebut,” kata Istana Negara dalam kenyataan semalam.

Justeru, Istana Negara me­ngingatkan semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dan undang-undang.

Sebelum ini, timbul titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Najib yang merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan ditetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan tersebut.

Sebelum ini, dalam permohonan yang difailkan April tahun lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lalu.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya pihak yang mempertikai mengenai hukuman yang dilalui oleh banduan tertentu memahami dan menerima kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara.

“Kena baca, kena hadam dan kena terima perintah (serta) titah tuanku,” katanya semasa ditemui pemberita semasa lawatan ke Lestari Niaga Madani@KL 2 dan menikmati makan tengah hari di Pusat Penjaja Seksyen 10 Wangsa Maju sebelum menunaikan Solat Jumaat di Surau Muhajirin, Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×