KANGAR: Pembinaan tembok sempadan mengikut ketinggian bersesuaian diperlukan bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pembinaan tembok tersebut perlu memandangkan tempoh ketahanannya yang lama dan kos penyelenggaraan juga rendah.
Katanya, apabila tembok berkenaan dibina, keselamatan boleh diperkemaskan lagi dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak akan dirosakkan.
“Sebelum ini, banyak berlaku CCTV di kawasan sempadan dirosakkan penjenayah malah ada yang ditembak dan sebagainya,” katanya.
Sebelum itu, laporan muka depan Utusan Malaysia telah membangkitkan mengenai keadaan hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di negeri ini yang uzur dan usang memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Keadaan itu membabitkan laluan keselamatan di sesetengah laluan di sepanjang 98.2 kilometer (km) kawasan sempadan di Perlis terutama dari Chuping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.
Sepanjang 45km daripada garisan sempadan tersebut pula tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi berbukit bukau dan hutan tebal.
Kebanyakan pagar sempadan di sekitar negeri juga sudah berusia lebih 30 tahun yang sudah tiba masanya digantikan dan memerlukan penambahbaikan segera.
Pagar sempadan yang rosak dan usang itu juga antara punca berlaku aktiviti pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah serta ketum di sekitar laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.
Muhammad berkata, pemilihan lokasi yang perlu diberi keutamaan bagi pembinaan tembok berkenaan boleh dibuat berdasarkan maklumat dikumpulkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
“Dengan pembinaan tembok ini, kekuatan anggota bertugas juga boleh dialihkan ke lokasi lain bagi memperkemaskan lagi kawalan sempadan negara,” katanya. – UTUSAN










