Peluang guru maju, kembang kemahiran

Peluang guru maju, kembang kemahiran

GURU yang berlapang dada, rajin bertanya dan mahu belajar pasti mampu mengajar de­ngan cemerlang walaupun di luar kepakaran mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Guru yang per­lu mengajar di luar bidang ke­pakaran mereka harus melihat situasi tersebut sebagai satu cabaran positif untuk terus maju dalam profesion mereka selain mengembangkan kemahiran baharu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Roslizam Hassan berkata, mes­kipun guru yang mengajar di luar bidang berpotensi mengalami tekanan kerja atau sindrom keletihan, perkara itu bergantung kepada sikap dan pendekatan individu terhadap tugas tersebut.

Katanya, tidak dinafikan ba­hawa warga pendidik sewajar­nya mengajar subjek dalam bi­dang yang mereka pelajari di universiti atau institut pendidikan guru (IPG).

“Namun, sekiranya keadaan memaksa guru mengajar bidang lain, anggaplah itu sebagai peluang untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran baharu kerana kebanyakan guru ini tidak menghadapi perbezaan terlalu besar dengan bidang asal mereka.

“Sebagai contoh, guru opsyen Bahasa Melayu hanya diminta mengajar Sejarah atau Geografi. Situasi ini masih munasabah dan boleh diatasi de­ngan sedikit ulang kaji serta usaha tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melapor­kan isu kekura­ngan guru di sekolah rendah dan menengah sehingga menyebabkan guru ter­paksa me­ngajar mata pelajaran di luar bidang kepakaran mereka terus menjadi cabaran terutamanya bagi subjek kritikal.

Mengulas lanjut, Roslizam berkata, jika seseorang guru tidak bersedia untuk belajar atau enggan menerima ca­baran baharu, mereka bakal berdepan risiko tekanan yang lebih tinggi.

“Guru yang berlapang dada, rajin bertanya dan mahu belajar pasti mampu mengajar de­ngan cemerlang walaupun di luar kepakaran mereka. Sebaliknya, guru yang tidak bersedia dan hanya pentingkan diri boleh mengalami tekanan kerja lebih teruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, pakar pendi­dikan, Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, ke­rajaan perlu melihat isu guru mengajar luar bidang secara serius memandangkan hal tersebut bakal meningkatkan teka­nan seorang guru.

Katanya, tekanan kerja melampau akan mengakibatkan sistem pendidikan negara ini akan menjadi kurang produktif dan berkesan.

“Dalam hal ini, guru seca­ra tidak langsung perlu melu­angkan masa tambahan untuk mengkaji dan memahami mata pelajaran yang bukan daripada kepakarannya.

“Ini dilihat membebankan ke­rana guru turut menanggung beban kerja yang sudah sedia berat seperti tugas pentadbiran dan ko­kurikulum selain perlu menja­ga kebajikan pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN