PETALING JAYA: Semua pihak termasuk UMNO Sabah perlu berpegang kepada pendirian untuk terus mengukuhkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut telah dijelaskan Presiden parti sendiri itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi meneruskan kerjasama yang ada termasuk di peringkat nasional.
“Apapun asas utamanya adalah kerjasama BN-PH itu perlu diteruskan. Lain-lain perkara atau sebarang keputusan itu belum dimuktamadkan dan kepimpinan utama akan membuat keputusan bila sampai masa yang sesuai.
“Arahan itu jelas kerana perlu diingat, apa sahaja berlaku di Sabah, ia turut akan memberi kesan di peringkat nasional,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir bahawa pusat tidak pernah mengarah atau campur tangan dalam hal ehwal UMNO Sabah terutamanya dalam memilih rakan gabungan menjelang PRN Sabah.
Malah katanya, UMNO Sabah masih diberikan kuasa autonomi dalam menentukan hala tuju politik Sabah, sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu bahawa mereka hanya mengikut telunjuk arahan pusat dalam menentukan soal kerjasama menjelang PRN akan datang.
Untuk rekod, Ahmad Zahid sebelum ini berkata, pihaknya sudah memuktamadkan kerjasama dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah, malah turut memberi jaminan bahawa tiada pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua gabungan itu, dengan penggunaan logo mengikut parti masing-masing. – UTUSAN











