ISKANDAR PUTERI: Cubaan seorang lelaki menyeludup gamat mentah bernilai RM12,000 masuk ke negara ini berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini petang semalam.
“Pemeriksaan dibuat pihak berkuasa pada pukul 5.06 petang telah menemukan lebih kurang 200 paket gamat mentah seberat 120 kilogram dibahagian belakang kenderaan.
“Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati, pemandu terbabit tidak mempunyai sebarang permit untuk membawa masuk gamat mentah bernilai RM12,000 itu ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Edie Putra memberitahu pemandu berkenaan telah ditahan untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan.
“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import Maqis merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.