JAKARTA: Lebih 260 etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak tiba di Aceh selepas terkandas selama beberapa hari, sekali gus meningkatkan jumlah ketibaan pelarian ke wilayah itu.
Seorang pegawai Aceh Timur, Iskandar berkata, kumpulan pelarian terbaharu itu tiba di pantai Peureulak Barat di wilayah itu pada malam Ahad sekitar pukul 10.25 malam (waktu tempatan).
“Terdapat 264 daripada mereka, 117 lelaki dan 147 wanita dengan 30 lagi kanak-kanak,” katanya.
Menurut Iskandar, pelarian itu pada mulanya menaiki dua bot, satu daripadanya karam di pesisir pantai manakala bot kedua berjaya bergerak menghampiri pantai.
“Mereka berjalan masuk ke pantai apabila air mula surut. Mereka memberitahu saya mereka ditolak di Malaysia,” kata Iskandar sambil menambah kerajaan tempatan belum memutuskan lokasi untuk memindahkan kumpulan pelarian itu.
Sementara itu, Pegawai Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNHCR), Faisal Rahman berkata, badan itu sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan dan pasukannya tiba di Peureulak Barat semalam untuk meninjau keadaan.
Antara Oktober dan November tahun lalu, lebih 500 Rohingya tiba di Indonesia dengan menaiki bot.
Indonesia bukan penandatangan konvensyen pelarian PBB dan menegaskan tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar, sebaliknya menyeru negara jiran untuk berkongsi beban menempatkan semula Rohingya yang tiba di pantainya.
Ramai penduduk Aceh yang tidak berpuas hati dengan kemasukan etnik Rohingya berikutan mereka didakwa sering berkonflik dengan warga tempatan.
Menurut data UNHCR, lebih 2,000 Rohingya tiba di Indonesia sejak 2023, meningkat mendadak daripada jumlah gabungan ketibaan mereka dalam empat tahun sebelumnya.-AFP










