Lawatan ke UK tarik pelaburan RM11 bilion

Lawatan ke UK tarik pelaburan RM11 bilion

ANWAR Ibrahim ketika sesi soal jawab pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama lebih 700 diaspora Malaysia di London, semalam. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan kerja ke United Kingdom (UK) berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan kerja selama lima hari itu turut membawa potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang berjumlah RM500 juta.

Kata beliau, potensi tersebut akan meliputi produk peralatan dan komponen pesawat, perabot serta makanan dan minuman.

Malah, jelasnya, ia turut menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia selain hubungan kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan UK.

“Dalam pertemuan dengan ketua-ketua syarikat yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), nampaknya ada peningkatan mendadak dari segi kesediaan (untuk melabur),” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di UK, semalam.

Dalam lawatan tersebut, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat besar di UK seperti Standard Chartered dan Jaguar Land Rover.

Bercakap mengenai Gaza, Anwar berkata, pembangunan semula Gaza dijangka menelan kos melebihi RM4.5 trilion selepas negara tersebut hampir musnah akibat kerakusan rejim Zionis Israel sejak Oktober 2023.

Katanya, lebih dari AS$1 trilion diperlukan kerana kemudahan-kemudahan asas di Gaza seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah sudah musnah sejak genosid berlaku.

“Ada yang anggarkan kos sebanyak AS$1 trilion,” kata beliau.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama lebih 700 diaspora Malaysia di London, Anwar menggesa rakyat Malaysia yang berada di luar untuk tidak memandang rendah terhadap kemajuan teknologi, kepakaran dan bakat yang ada di tanah air.

Menurut Anwar, pelabur global secara berterusan mengiktiraf penguasaan teknologi yang ada di Malaysia.

“Ramai dalam kalangan pelabur terus membuat pelaburan di Malaysia selepas bertahun-tahun menjalankan perniagaannya di dalam negara.

“Contohnya, Infineon Technologies AG yang merupakan pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, mereka baru-baru ini melabur enam bilion euro kerana mereka menganggap Malaysia mempunyai tahap kepakaran, teknologi dan bakat selain di negara mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN