Kerang terdampar di pantai bukan petanda bencana bakal berlaku

Kerang terdampar di pantai bukan petanda bencana bakal berlaku

ORANG ramai mengutip kerang di Pantai Sura, Dungun, Terengganu baru-baru ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerang terdampar di pesisir pantai Terengganu adalah fenomena alam biasa apabila angin kencang, ombak besar dan struktur pantai berubah berlaku.

Pensyarah di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Roslizawati Ab. Lah berkata, fenomena itu bukan petanda sesuatu bencana yang buruk bakal berlaku, sebaliknya ia sebahagian daripada proses yang berlaku hampir setiap tahun semasa musim monsun.

Jelasnya, kerang-kerang yang terdampar di pantai Terengganu itu juga selamat untuk dimakan.

“Proses terdamparnya kerang di pantai ini berkait rapat dengan struktur geografi pantai, kekuatan ombak serta arah dan kelajuan tiupan angin semasa musim Monsun Timur Laut.

“Tiupan angin yang kuat dan pergerakan ombak yang besar membawa kerang-kerang ini ke pesisir pantai. Biasanya kerang-kerang ini boleh dimakan dengan selamat,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, tular video menunjukkan orang ramai mengumpul kerang yang terdampar di Pantai Sura, Dungun.

Roslizawati berkata, bagi penduduk setempat dan pelancong yang gemar menikmati makanan laut, fenomena ini memberikan peluang untuk mereka mengutip kerang-tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

“Kerang-kerang yang terkumpul di pantai mungkin terdedah kepada bakteria atau pencemaran air, jadi adalah penting untuk memastikan kerang tersebut dibersihkan dengan betul sebelum dimasak.

“Fenomena ini turut memberi gambaran tentang betapa pentingnya ekosistem lautan dan pesisir pantai dalam menjaga keseimbangan alam. Kerang-kerang yang terdampar bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti tetapi lebih kepada proses semula jadi yang berlaku akibat perubahan cuaca dan alam sekitar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN