Kenapa layan suami saya begitu – Isteri lelaki OKU

Kenapa layan suami saya begitu – Isteri lelaki OKU

FARIDAH Abdul Karim (dua, kiri) dan anak-anaknya melihat keadaan motosikal yang ditunggang suaminya ketika ditemui di Kampung Mak Chili, Kemaman, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: “Hancur luluh hati saya melihat video suami disepak, dipukul, diheret dan dicurah mi goreng atas kepala.”

Itu luahan Faridah Abdul Karim, 44, isteri kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai di sini, Jumaat lalu.

Ibu kepada lima anak itu menyifatkan tindakan beberapa individu yang memukul dan menyepak suaminya sebagai tidak berperikemanuasiaan dan tidak berhati perut.

“Suami saya dah berulang kali memohon maaf, namun mereka (pelaku) tetap memukul suami saya. Ketika suami saya minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih kerana dicurah mi goreng, dia sekali lagi disepak di bahagian kepala.

“Kenapa layan suami saya begitu, dia juga manusia se­perti orang lain dan bukan haiwan,” katanya mengalirkan air mata ketika disantuni Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Fadini Rahim, di di Kampung Mak Chili, di sini, semalam.

Faridah berkata, jika benar suaminya bersalah dan sengaja melanggar gerai makanan itu, perkara itu seharusnya diselesaikan secara baik.

“Kalau nak kami bayar ganti rugi kerugian yang dialami peniaga itu, insya-Allah kami boleh ganti. Tak perlu layan suami saya begitu,” katanya yang berterima kasih kepada beberapa individu yang membantu menghalang perbuatan berkenaan.

Faridah berkata, selama 25 tahun dia berkongsi hidup dengan Ahmad Nor Al Faizan, suaminya tidak pernah meninggalkan solat dan sering ke surau untuk berjemaah.

“Suami saya selalu solat. Walaupun dia sakit, dia tetap solat. Dia tak pukul orang, hanya mulutnya yang lantang. Kalau hari kejadian tu mereka bagi tahu nak panggil polis, pasti dia takut. Kalau ikat dia bawa pergi balai pun, kes boleh diselesaikan dengan baik,” katanya.

Dia berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi menawarkan khidmat guaman percuma untuk keluarganya mendapat keadilan.

Dalam kunjungan itu, Faridah dan anak-anaknya sempat berbual dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menerusi panggilan video.

Akmal turut menyatakan komitmen pergerakan itu bagi memastikan mangsa mendapat keadilan dan pelaku mendapat hukuman setimpal.

Jumaat lalu, seorang lelaki mental berusia 47 tahun cedera selepas dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani tersebut menyebabkan suasana di situ tegang dan kecoh seketika.

Kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki itu yang menunggang motosikal memasuki tapak jualan pasar tani, terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN