Kaji benarkan jual beras campuran

Kaji benarkan jual beras campuran

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang membuat kajian terperinci untuk membenarkan penjualan beras campuran di pasaran tempatan.

Sehingga hari ini tiada larangan yang jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan tersebut turut disokong oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai kaedah penyelesaian kepada masalah bekalan beras yang berlaku ketika ini.

Katanya, pihaknya akan mengadakan satu libat urus bagi membincangkan perkara tersebut dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

“Sekarang kita sedang buat kajian secara terperinci sama ada mahu membenarkan atau tidak jual beras campuran ini, sebab kalau tidak mahu campur, kita kena pastikan bekalan beras tempatan itu cukup.

“Masalah sekarang ini, banyak aduan dari pengilang termasuk pengilang bumiputera yang mereka tidak boleh jual beras dengan harga RM26 untuk kampit 10 kilogram sebab itu adalah harga pada 2008.

“Hasil kajian ini akan kita bentang dalam masa terdekat iaitu suku pertama tahun ini kepada Perdana Menteri supaya kita boleh buat perubahan struktur harga beras,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohamad berkata, setiap keputusan yang dibuat akan meletakkan pesawah sebagai keutamaan supaya golongan itu tidak menanggung kerugian dan dalam masa yang sama turut memikirkan alternatif kepada masyarakat supaya tidak terbeban dengan harga beras yang terlalu tinggi.

Katanya, kementerian juga akan berbincang mengenai ketetapan harga lantai yang perlu dipatuhi pengilang-pengilang supaya tiada mana-mana pihak yang berasa ‘tertindas’ kerana tidak mampu membeli padi pada harga yang tinggi seperti yang dibuat pengilang tertentu.

“Bisnes ini biasalah mereka akan berlumba-lumba untuk membeli padi. Kita di peringkat kerajaan memang tidak pernah mengawal berapa harga maksimum yang mereka beli, tetapi kita akan mengawal harga minimum dan mereka tidak boleh beli di bawah harga lantai RM1,300. Kalau maksimum itu perlumbaan antara pengilang-pengilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN