GAZA: Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar yakin gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza akan berkuat kuasa seperti dirancang, walaupun pelbagai ‘drama’ dicetuskan Kabinet Israel untuk mengganggu usaha tersebut.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menyatakan keyakinan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza akan tetap dilaksanakan mula Ahad ini, walaupun Israel menunggu undian Kabinetnya dan menuduh Hamas menarik balik persetujuan terhadap perjanjian itu.
“Saya amat yakin dan saya menjangkakan bahawa pelaksanaan akan bermula seperti yang kami umumkan pada Ahad ini,” katanya.
DRAMA ISRAEL
Blinken berkata, beliau bersama beberapa pegawai lain dalam pentadbiran Presiden, Joe Biden membuat beberapa perbincangan melalui panggilan telefon untuk cuba menyelesaikan isu dalam gencatan senjata yang diumumkan Rabu lalu melalui pengantara Qatar.
“Tidaklah menghairankan dalam proses rundingan, yang amat mencabar dan sesak ini, anda mungkin berdepan keputusan yang longgar. Tetap kami sudah berusaha memperkemaskannya dan menyelesaikan perkara itu,” kata Blinken.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Kabinet ditetapkan mengundi perjanjian itu selepas dua anggotanya menyuarakan bantahan terhadap usaha tersebut.
Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben Gvir mengancam untuk meletak jawatan dan menarik sokongan partinya daripada gabungan pemerintah sekiranya perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tahanan diluluskan oleh Kabinet.
Dalam sidang akhbar semalam, ketua parti Kuasa Yahudi itu menegaskan, perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata Gaza dengan Hamas kononnya akan membatalkan semua pencapaian yang sudah dibuat.
Penarikan diri Ben-Gvir bagaimanapun tidak dapat menjatuhkan pentadbiran Netanyahu kerana partinya sekadar memiliki enam kerusi di Knesset, yang mempunyai keseluruhan 120 kerusi.
Kelmarin, Menteri Kewangan sayap kanan, Bezalel Smotrich turut menentang gencatan senjata itu, menyebutnya sebagai perjanjian buruk dan berbahaya.
Pejabat Netanyahu menuduh Hamas mengingkari bahagian penting perjanjian itu, cadangan yang dinafikan oleh kumpulan pejuang Palestin ketika rejim itu melancarkan serangan baharu sebelum gencatan senjata bermula yang membunuh lebih 86 orang.
Sementara Kementerian Luar Mesir menegaskan, pelaksanaan gencatan senjata di Gaza mesti mengikut masa ditetapkan tanpa perlu berlengah-lengah lagi.
Sejak perjanjian itu diumumkan, agensi pertahanan awam Gaza berkata, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam serangan oleh tentera Israel, yang mendakwa memusnahkan kira-kira 50 sasaran sepanjang dua hari lalu.
Dalam panggilan telefon dengan Blinken, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty menggesa gencatan senjata dimulakan segera dan menekankan keperluan bagi semua pihak terlibat untuk mematuhi peruntukannya dan berusaha melaksanakan peringkatnya mengikut tarikh yang ditetapkan.
Dalam kenyataan berasingan, kementerian itu berkata, Mesir bersedia untuk menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa mengenai perancangan pembinaan semula Semenanjung Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata usaha membangunkan semula insfrastruktur kesihatan awam wilayah yang hancur itu dijangka mengambil masa lebih sedekad dan menelan belanja hampir AS$10 bilion (RM45 bilion).
Dalam pada itu Kaherah turut menggesa pengagihan bantuan kemanusiaan yang cepat, selamat dan berkesan, serta pelaksanaan projek pemulihan awal sebagai persediaan untuk pembinaan semula wilayah itu.
Rabu lalu, media kerajaan, Al-Qahera News melaporkan bahawa penyelarasan sedang dijalankan untuk membuka semula persimpangan Rafah di sempadan Mesir-Gaza bagi membolehkan kemasukan bantuan untuk diedarkan kepada penduduk terjejas secepat mungkin.
AMARAN HAMAS
Sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam memberi amaran serangan udara Israel yang menyasarkan Gaza berisiko membahayakan keselamatan tebusannya menjelang pelaksanaan perjanjian pertukaran tahanan yang dijadualkan bermula Ahad.
Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida berkata, tentera Israel menyasarkan lokasi di mana seorang daripada tebusannya terlibat dalam fasa pertama perjanjian itu sedang ditahan.
“Sebarang serangan dan pengeboman peringkat ini oleh musuh boleh menjadikan rancangan pembebasan seorang tebusan bertukar tragedi,” katanya dalam kenyataan di Telegram pada Khamis.
Nasib tebusan tersebut selepas serangan yang dilaporkan masih belum diketahui.
Perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Rabu, termasuk pertukaran 33 tebusan Israel dengan ratusan tahanan Palestin di penjara rejim.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas pengumuman itu, pesawat Israel melakukan serbuan intensif ke seluruh Gaza, mengakibatkan lebih 80 kematian dan ratusan lagi cedera.
Media Palestin melaporkan, dua pembunuhan besar berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam, di Jalan Al-Jalaa dan kawasan kejiranan Sheikh Radwan.
Sebagai tindak balas, pasukan pejuang Palestin membedil kedudukan Israel di sepanjang paksi Netzarim, di selatan bandar Gaza.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ketahanan perjanjian gencatan senjata di tengah keganasan berterusan.











